- Foto hiasan
- Foto hiasan
Omar Ahmad


Johor Bahru: Seramai 11 individu termasuk dua remaja dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas tiga pertuduhan mengedar pelbagai jenis dadah seberat 19.49 kilogram, bulan lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan dan kesemua tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa di hadapan Majistret, A. Shaarmini.

Tertuduh, Yek Zhu Jie, 19; How Jia Lerk, 23; Eva Chua Min, 19; Kenny Loo Yee Han, 24; Tan Chee Seng, 21; Chong Chew Nam, 32; Ooi Zhi Wei, 29; Goh Yoong Cheng, 30 dan Phang Jing Yi, 22 bersama dua pesalah remaja lelaki berusia 17 tahun dituduh secara bersama.

Mengikut kertas pertuduhan, 11 tertuduh secara bersama didakwa mengedar dadah berbahaya jenis Methylenddioxymethphetamine (MDMA) dengan anggaran berat kasar 18,881 gram.

Bagi pertuduhan kedua, kesemua tertuduh juga secara bersama mengedar dadah jenis berbahaya jenis ketamin dengan anggaran berat kasar 550 gram.

Sementara, bagi pertuduhan ketiga, kesemua tertuduh secara bersama didakwa mengedar dadah jenis Nimetazepam dengan anggaran kasar 52 gram.

Kesemua kesalahan itu dilakukan pada 23 September lalu kira-kira jam 2 pagi di sebuah rumah di Jalan Bukit Skudai, Taman Bukit Skudai, di sini.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) Akta sama yang memperuntukkan hukuman mati dan boleh dihukum dengan 15 sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shamira Mohd Luthfi Ismail.

Hanya tiga tertuduh sahaja diwakili peguam bela.

Mahkamah memutuskan semua tertuduh yang juga rakan tidak dibenarkan diikat jamin.

Mahkamah turut menetapkan 2 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2023 @ 12:32 PM