Ahmad Fadhil (kanan) dan Mohamad Firdauz didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru kerana mengedar dadah seberat 5.3 kg pada 6 Mac lalu. FOTO OMAR AHMAD
Ahmad Fadhil (kanan) dan Mohamad Firdauz didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru kerana mengedar dadah seberat 5.3 kg pada 6 Mac lalu. FOTO OMAR AHMAD
Oleh Omar Ahmad


Johor Bahru: Seorang anggota penguat kuasa dan seorang nelayan didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru di sini, hari ini kerana mengedar dadah seberat 5.3 kilogram pada 6 Mac lalu.

Ahmad Fadhil Ghazali, 34, dan Mohamad Firdauz Ishak, 29, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret R Salini.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua tertuduh didakwa mengedar dadah syabu seberat 5,377.32 gram di Forest City, Iskandar Puteri pada jam 9 malam, 6 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 1980), yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta disebat tidak kurang 15 sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aina Syakira Muhammad Syafiq Sim.

Manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Abu Bakar Isa Rahmat.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 22 Mei ini untuk menunggu keputusan laporan kimia.

Difahamkan, kedua-dua tertuduh itu antara ahli sindiket pengedaran dadah yang ditumpaskan polis pada 15 Mac lalu, membabitkan penahanan sembilan penguat kuasa dalam serbuan berasingan di sekitar Johor dan Putrajaya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata, modus operandi sindiket itu adalah menjual 50 kg dadah jenis syabu yang dirampas dalam satu operasi di perairan Selat Melaka yang cuba diseludup oleh sindiket bergerak aktif di Banting, Selangor untuk pasaran di Dumai, Indonesia.

Sindiket ini dipercayai mula bergiat aktif sejak pertengahan Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2022 @ 12:49 PM