Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas empat pertuduhan mengedar lebih 413 kilogram (kg) dadah jenis Nimetazepam selain satu pertuduhan memiliki senjata api tiruan, dua minggu lalu.

Tiada pengakuan direkodkan bagi kes dadah daripada kedua-dua tertuduh iaitu Choong Boon Wah, 44, dan Seng Chun Leong, 44, namun kedua-duanya faham sewaktu pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret S Punitha.

Berdasarkan empat pertuduhan berkaitan dadah, mereka didakwa secara bersama mengedar dadah jenis Nimetazepam, yang mana bagi setiap kertas pertuduhan itu ia dinyatakan berbeza daripada segi bahagian rumah tempat ia ditemukan, selain berbeza anggaran berat kasar dadah yang diedar iaitu 49,597 gram (g), 59,500g, 64,299g, dan 240,430g.

Semua perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Sri Klebang 2, Bandar Baru Sri Klebang, Chemor, di sini jam 9.15 pagi, 15 Ogos lalu.

Keempat-empat pendakwaan itu dibuat mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum dengan sebatan yang tidak kurang daripada 12 sebatan, bagi setiap pertuduhan.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Hidayu Zakaria manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Asyraaf Abu Bakar Hamzah.

Tiada jaminan ditawarkan selain mahkamah menetapkan tarikh 16 November depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu hasil laporan kimia.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan iaitu di hadapan Majistret Jesseca Daimis, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan secara bersama memiliki dua laras senjata api tiruan serta dua kelopak peluru.

Mengikut kertas pertuduhan, dua tertuduh itu didapati bersama-sama memiliki senjata api tiruan masing-masing jenis HK416 dan HKMP5 di lokasi rumah yang sama tempat dua tertuduh itu didakwa dengan pertuduhan dadah jam 9.30 pagi, 15 Ogos lalu.

Pertuduhan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Syaza Ariffin itu dibuat bagi kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh bagi kes ini berikutan kesalahan memiliki senjata api tiruan itu adalah berkait dengan pertuduhan yang dihadapi kedua-dua tertuduh berkenaan yang turut berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 39B ADB.

Jesseca turut menetapkan 6 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

Pada 18 Ogos lalu, media melaporkan polis melumpuhkan sindiket memproses dan mengedar dadah Erimin 5 bernilai RM30.6 juta selepas menyerbu sebuah banglo dua tingkat di Chemor, di sini, yang dijadikan makmal memproses bahan itu, pada 15 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2023 @ 2:27 PM