Oleh Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: FELDA United terpaksa akur misi mencari tiga mata tidak berjaya apabila terikat tanpa jaringan ketika menentang Kelantan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) malam tadi.

Tuan rumah mempunyai beberapa peluang memastikan tiga mata berharga namun gagal menemui sentuhan penyudah untuk menewaskan Khairul Fahmi Che Mat di gawang pelawat.

Peluang terbaik anak buah Irfan Bakti Abu Salim membuka jaringan hadir pada minit ke-26 namun cubaan Makeche Ndumba berjaya dinafikan Khairul Fahmi yang bertindak cemerlang.

Giliran Kelantan berpeluang membuka jaringan pula diperoleh pada minit ke-60 apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dijatuhkan.

Namun sepakan Erwin Carillo sekadar menggegar palang untuk mengecewakan kira-kira 2,000 penyokong Kelantan.

Pujian harus diberikan kepada penjaga gol tuan rumah Mohd Farizal Harun yang menafikan dua tandukan berbahaya Kelantan menerusi Wan Nor Zack Haikal Wan Nor dan Carillo.

Ia disusuli rembatan kencang Zah Rahan Krangar pada minit ke-75 yang turut menggegar palang.

Keputusan seri membolehkan FELDA United mengumpul 26 mata manakala Kelantan mengumpul 22 mata ketika saingan Liga Super berbaki lima perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2015 @ 8:41 AM