Pemain Sarawak Ashri Chuchu (no 11) merembat kencang ke pintu gol pasukan Felda United.FOTO NSTP/NADIM BOKHARI
Pemain Sarawak Ashri Chuchu (no 11) merembat kencang ke pintu gol pasukan Felda United.FOTO NSTP/NADIM BOKHARI
Oleh Abd Rahman Adam


Petra Jaya: Sarawak gagal memanfaatkan peluang beraksi di gelanggang sendiri apabila tewas 1-2 ketika melayan kunjungan KL Felda dalam aksi kedua Liga Super 2016 di Stadium Negeri, Kuching malam tadi.

Meskipun beraksi di hadapan kira-kira 15,000 penyokong sendiri namun skuad bimbingan Datuk K Rajagobal gagal menundukkan skuad The Fighters.

Awal babak pertama, Sarawak dilihat lebih banyak menguasai perlawanan, namun gagal meraih sebarang jaringan.

Minit ke-17 perlawanan menyaksikan percubaan penyerang Sarawak, Gilmar Jose Da Silva, namun sedikit tersasar di kanan pintu gol.

Penyerang dari Brazil itu sekali lagi membuka peluang Bujang Senang memperoleh gol pertama namun dijatuhkan dalam kotak penalti tetapi pengadil meneruskan perlawanan.

KL FELDA mula merancang serangan apabila pemain importnya, Gilberto Carlos menanduk bola hantaran rakan sepasukan pada m-41 namun sekadar melepasi palang.

Bagaimanapun, masuk babak kedua, skuad pelawat tidak menunggu lama apabila Zahrahan Krangar mudah menewaskan penjaga gol Iqbal Suhaimi meletakkan KL FELDA di depan dengan 0-1.

Tersentak dengan jaringan itu, pemain gantian Sarawak, Makeche Ndumba cuba menceriakan tuan rumah dengan gol penyamaan pada m-64 namun dibatalkan pengadil kerana ofsaid.

Sarawak kembali bersemangat apabila pemain importnya, Junior Aparecido menyempurnakan sepakan penalti menyamakan kedudukan jaringan.

Bagaimanapun kegembiraan skuad Bujang Senang tidak kekal lama apabila Francis Forkey Doe menjaringkan gol kedua pelawat sekaligus memusnahkan impian Sarawak untuk meraihkan sekurang-kurang satu mata.

Kedudukan kekal 1-2 sehingga tamat masa perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2016 @ 1:15 AM