PEMAIN Kelantan, Erwin Carillo (dua dari kanan) membuat cubaan dipintu gol Felda United.
PEMAIN Kelantan, Erwin Carillo (dua dari kanan) membuat cubaan dipintu gol Felda United.
Oleh Muhamaad Razis Ismail


Kota Bharu: Kelantan gagal meneruskan rentak cemerlang selepas sekadar seri 1-1 dengan FELDA United dalam pusingan kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV di sini malam tadi.

Beraksi di depan lebih 10,000 penyokong, Kelantan gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri biarpun memperoleh banyak peluang untuk menjaringkan gol.

Pada aksi separuh masa pertama, perlawanan Kelantan dan FELDA United dilihat agak seimbang apabila kedua-dua pasukan dilihat saling melakukan serangan.

Bermula babak kedua The Red Warriors (TRW) bermula garang apabila terus melancarkan serangan ke kubu FELDA United untuk mendapatkan gol pertama.

Hasilnya, Gilmar Filho berjaya memecahkan kebuntuan jaringan apabila menperoleh gol pertama Kelantan pada minit ke-48 selepas sepakan kencang Wan Zaharul Nizam gagal ditangkap kemas Farizal Harun.

Selang tiga minit kemudian Kelantan berpeluang menambah jaringan pada namun sepakan kencang dari luar kotak penalti oleh Wan Zaharul Nizam terkena tiang gol.

Keghairahan Kelantan memburu gol kedua membawa padah, apabila FELDA United berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-63 menerusi Syamin Yahya yang menyempurnakan hantaran lintang Makeche Ndumba.

Selepas itu, kedua-dua pasukan dilihat saling berbalas serangan namun gagal menjaringkan gol.

Satu mata yang diperoleh pasukan kendalian Zahasmi Ismail membolehkan Kelantan terus menerajui kumpulan B dengan empat mata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2015 @ 5:07 AM