Oleh Azlan Muhamad Zain


Kuala Lumpur: Pemain tengah Selangor Nazmi Faiz Mansor perlu memberikan surat jawapan kepada Persatuan Bolaepak Malaysia (FAM) susulan dakwaan dia meludah pemain Kelantan Erwin Carillo pada aksi Liga Super pada 19 Ogos lalu.

Menurut sumber, pemain berkenaan mempunyai tempoh sehingga hari ini selepas mendapat surat pertuduhan kelmarin.

“Nazmi Faiz didakwa meludah Carillo pada perlawanan itu,” jelas sumber berkenaan.

Situasi berkenaan memungkinkan dia dikenakan penggantungan enam perlawanan sekali gus dijangka mengganggu perancangan Selangor bagi menghadapi kancah Piala Malaysia.

Arena Metro pada 22 Ogos lalu melaporkan insiden berkenaan dengan Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata akan melakukan penelitian selepas mendapat laporan pegawai perlawanan.

Pemain berkenaan diarahkan meninggalkan padang oleh pengadil Suhaizi Shukri pada lewat perlawanan selepas insiden dengan Carillo.

Nazmi Faiz dilayangkan kad merah manakala Carillo menerima kad kuning pada perlawanan Liga Super itu.

Dia pernah digantung enam perlawanan ketika mewakili skuad negara di Sukan SEA Singapura pada pertengahan tahun ini apabila didapati bersalah meludah pemain Timor Leste.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2015 @ 8:06 AM