PEMAIN FELDA, Zah Rahan Krangar (kiri) melepasi halangan pemain Kelantan, Mohd Fitri Omar.
PEMAIN FELDA, Zah Rahan Krangar (kiri) melepasi halangan pemain Kelantan, Mohd Fitri Omar.
Oleh Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Pengurus Kelantan Azman Ibrahim mengakui The Red Warriors (TRW) kerugian besar apabila gagal meraih tiga mata berharga menentang FELDA United malam kelmarin.

Sepakan penalti Erwin Carillo pada separuh masa kedua sekadar menggegar palang selain beberapa peluang terbaik pelawat untuk menjaringkan gol dinafikan dengan ketangkasan Mohd Farizal Harun di gawang FELDA United.

“Amat rugi kerana kami memiliki beberapa peluang untuk menang termasuk sepakan penalti. Kegagalan itu menyebabkan kami kerugian kerana hanya membawa pulang satu mata sedangkan berupaya mendapatkan tiga.

“Peluang yang kami lepaskan malam ini (malam kelmarin) satu kerugian besar,” katanya merujuk kepada saingan yang hanya berbaki lima perlawanan.

Kelantan berada pada kedudukan kesembilan dengan 22 mata dan laluan semakin sukar untuk menambah mata apabila bakal bertemu Terengganu, Pahang, Selangor dan Johor Darul Ta’zim (Johor DT).

“Kedudukan kami ketika ini masih tidak selamat (turun ke Liga Perdana). Kami bukan saja perlu berusaha keras malah pemain perlu buktikan yang kami sebuah pasukan disegani,” katanya.

Kelantan yang dikendalikan Zahasmi Ismail sejak beberapa perlawanan lalu masih mengekalkan rekod bersih apabila masih belum tewas.

“Satu rekod yang baik kerana beliau (Zahasmi) dapat mengekalkannya. Semua pemain memberikan sokongan kepadanya, mungkin kerana caranya membimbing pasukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 12:07 PM