Pandelela masih belum pulih kecederaan belakang. FOTO NSTP
Pandelela masih belum pulih kecederaan belakang. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


KECEDERAAN belakang belum pulih sepenuhnya menyebabkan Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) terpaksa mengambil keputusan merehatkan penerjun utama negara, Pandelela Rinong daripada menyertai Kejohanan Siri Terjun Dunia di Kazan, Russia.

Biarpun kecederaan pemenang pingat perak temasya Sukan Olimpik itu tidaklah begitu serius, namun Setiausaha Agung ASUM, Mae Chen berkata pihaknya tidak mahu mengambil risiko mempertaruhkan Pandelela di kejohanan siri dunia itu.

Mae ditemui selepas mesyuarat jawatankuasa kerja bersama Majlis Sukan Negara (MSN) berkata, fokus utama ASUM ketika ini adalah Kejohanan Dunia di Korea, Julai depan yang menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Kecederaan bahagian belakangnya tidaklah begitu serius tapi biarlah dia pulih sepenuhnya untuk fokus kepada Kejohanan Dunia nanti.

"Selain Kejohanan Dunia Julai ini, Kejohanan Asia di Kuala Lumpur dari 6 hingga 8 September turut menawarkan tiket ke Olimpik.

"ASUM juga sudah mengenal pasti kejohanan yang menawarkan mata kelayakan ke Olimpik dan akan menghantar atlet yang berpotensi untuk membolehkan mereka layak ke Olimpik nanti," katanya.

Mae berkata, ASUM kini lebih memberi fokus kepada kejohanan yang menawarkan tiket ke Olimpik berbanding temasya Sukan SEA di Filipina hujung tahun ini.

Mempertaruhkan penerjun yang sama, skuad terjun negara masih lagi menyandarkan harapan kepada barisan sedia ada seperti Pandelela, Nur Dhabitah Sabri, Leong Mun Yee, Wendy Ng, Ooi Tze Liang, Hanis Nazirul Jaya Surya, Jellson Jabillin dan Chew Yiwei selain Cheong Jun Hoong yang masih lagi dalam proses pemulihan.

Sukan terjun sebelum ini mempunyai rekod baik di temasya besar dunia itu apabila tiga tahun lalu di Rio, Pandelela dan Jun Hoong beraksi dalam acara 10m terjun seirama menyumbangkan pingat perak.

Pandelela sebelum ini menjadi atlet wanita pertama negara meraih gangsa dalam acara 10m platform di Olimpik London.

Dalam perkembangan yang sama, dua perenang negara, Welson Sim dan Phee Jinq En sudahpun melepasi syarat kelayakan ke Olimpik bagi kategori B dalam acara renang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 4:02 PM