KEADAAN motosikal yang terbabit nahas mengakibatkan dua penunggang motosikal maut di lokasi kejadian. FOTO ihsan pembaca
KEADAAN motosikal yang terbabit nahas mengakibatkan dua penunggang motosikal maut di lokasi kejadian. FOTO ihsan pembaca
Hazira Ahmad Zaidi


DUA lelaki maut selepas motosikal ditunggang mereka bertembung di Kilometer 27.8 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai berhampiran Kampung Merbau Chondong, Machang, malam tadi.

Dalam kejadian 9.30 malam itu, kedua-dua mangsa Muhammad Faris Alias, 21, dan Irfan Bakhtiar Izani, 16, meninggal dunia di lokasi kejadian berikutan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintenden Ganti Jimmy berkata, hasil siasatan awal mendapati motosikal Yamaha 135LC ditunggang Muhammad Faris dari arah Kota Bharu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Machang.

"Bagaimanapun, setibanya di lokasi kejadian, Irfan Bakhtiar yang menunggang motosikal Honda Wave melintas dari arah kanan ke kiri jalan menyebabkan berlakunya perlanggaran.

"Ia menyebabkan motosikal ditunggang Muhammad Faris merempuh sebelah kanan motosikal Irfan Bakhtiar dan sehingga kedua-dua mangsa parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa di bawa ke Hospital Machang untuk dibedah siasat dan masih belum dituntut ahli keluarga.

Beliau berkata, siasatan lanjut berhubung kemalangan itu dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2020 @ 2:40 PM