KEADAAN dua motosikal Honda EX5 yang bertembung sesama sendiri. FOTO Ihsan Pembaca
KEADAAN dua motosikal Honda EX5 yang bertembung sesama sendiri. FOTO Ihsan Pembaca
Hanneeyzah Bariah Baharin


DUA operator kilang di Chendering, Terengganu maut selepas motosikal ditunggangi bertembung sesama sendiri ketika dalam perjalanan pergi dan balik kerja berhampiran Kampung Bukit, Chendering, malam tadi.

Dalam kejadian 8.10 malam itu, dua rakan sekerja itu, Mohamad Zulfahmi Faisal Mohd Marzuki, 25, dari Kampung Banggol Pasir Tinggi, Marang, dan Mohamad Khairul Izuan Ariff, 22, dari Kampung Paya Resak, Marang, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, sebelum kejadian, Mohamad Zulfahmi Faisal menunggang motosikal Honda EX5 dari arah Kampung Bukit menghala ke kilang elektronik Aptiv di Chendering untuk masuk kerja.

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian berhampiran depoh Jabatan Kerja Raya (JKR), motosikalnya bertembung dengan Honda EX5 ditunggang Mohamad Khairul Izuan dari arah bertentangan yang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumahnya di Kampung Paya Resak.

Difahamkan, motosikal ditunggangi Mohamad Zulfahmi Faisal hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal Mohamad Khairul Izuan.

“Pertembungan kuat itu menyebabkan motosikal kedua-dua mangsa rosak teruk. Petugas ambulans dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang tiba di lokasi cuba menyelamatkan mangsa dan memberi bantuan kecemasan.

“Bagaimanapun, kedua-duanya yang parah di kepala dan badan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Suffian berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik HSNZ sebelum dituntut ahli keluarga untuk urusan pengebumian.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan sehingga menyebabkan kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 2:19 PM