GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Hasbi


Nilai: Polis mengesan saksi dan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan mengakibatkan seorang penunggang motosikal maut di Batu 8, Jalan Mantin, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 11 pagi, mangsa disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban tiga jam kemudian akibat parah pada bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, kemalangan dipercayai membabitkan Yamaha Nouvo dengan sebuah kereta jenis dan nombor pendaftaran tidak pasti.

"Hasil siasatan mendapati motosikal yang ditunggang lelaki berusia 59 tahun itu dikatakan bergesel dengan sebuah kereta menyebabkannya hilang kawalan dan terbabas ke pembahagi tepi jalan sebelah kiri.

"Mangsa yang parah dikejarkan ke HTJ Seremban sebelum disahkan meninggal dunia di unit rawatan rapi (ICU) kira-kira 2 petang semalam," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Rosliza Mohd Ludin di talian 010-4554359 untuk membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 10:40 AM