Keadaan motosikal mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 40 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, hari ini. FOTO IHSAN PDRM
Keadaan motosikal mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 40 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, hari ini. FOTO IHSAN PDRM
Hazira Ahmad Zaidi


Machang: Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas jentera ditunggangnya bertembung dengan pacuan empat roda di Kilometer 40 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 1.20 tengah hari, mangsa Marc Ferdinand Joseph Lourdes, 40, yang menunggang motosikal Tiger 900GT Pro, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Ganti Jimmy berkata, siasatan awal mendapati penunggang motosikal berkenaan dari Kuala Krai menghala ke Kota Bharu.

"Setibanya di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Toyota Hilux yang dipandu lelaki berusia 26 tahun.

"Akibat itu, mangsa disahkan meninggal dunia dan mayatnya dibawa ke Hospital Machang untuk bedah siasat, manakala pemandu pikap tidak cedera," katanya dalam kenyataan, di sini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Februari 2022 @ 6:04 PM