Dr Zaini Hussin
Dr Zaini Hussin
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Kes demam denggi di Kelantan dari Januari hingga 28 Jun lalu adalah sebanyak 1,073 kes dan turut merekodkan satu kematian.

Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, catatan kes itu menunjukkan peningkatan sebanyak 14.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu sebanyak 943 kes.

Katanya, kes kematian itu membabitkan seorang lelaki berusia 40-an pada Februari lalu yang terkena demam denggi di Lojing, Gua Musang, dan dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Cameron Highlands, Pahang.

"Sementara itu, sebanyak 63 wabak denggi yang dilaporkan dalam tempoh itu berbanding 59 wabak pada tempoh yang sama tahun lalu.

"Daripada 63 wabak denggi yang dilaporkan, 54 wabak sudah tamat dan sembilan wabak masih aktif. Pada tahun ini, satu lokaliti wabak hotspot berlaku di negeri ini dan ia sudah tamat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dr Zaini berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan untuk semua kes serta wabak denggi yang dilaporkan bagi memutuskan rantaian jangkitan.

Beliau berkata, antaranya aktiviti kawalan vektor yang dijalankan ialah pemeriksaan premis, semburan kabus, penghapusan tempat pembiakan dan pendidikan kesihatan.

"Bagi membendung penyakit demam denggi daripada terus merebak dan mengancam kesihatan penduduk, seluruh lapisan masyarakat perlu bersama-sama memikul tanggungjawab dengan melaksanakan aktiviti membersihkan halaman kediaman dan premis.

"JKNK juga menyeru orang ramai untuk bersama-sama mengambil tanggungjawab bagi membendung penyakit denggi di Kelantan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 10:27 AM