ANTARA PATI warga Myanmar, Bangladesh dan Indonesia yang ditahan.
ANTARA PATI warga Myanmar, Bangladesh dan Indonesia yang ditahan.
Oleh Norul Awatif Romli


Alor Setar: Jabatan Imigresen Kedah menahan 39 pendatang asing tanpa izin (PATI) membabitkan warga Myanmar, Bangladesh dan Indonesia kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah menerusi Ops Sapu di tiga lokasi berasingan di sekitar bandaraya ini, malam tadi.

Pengarah Imigresen Kedah, Mohamad Yusri Hashim berkata, operasi bermula 12.05 tengah malam itu dijalankan di rumah kongsi dan sekitar tapak pembinaan di Taman Vistana, Jalan Langgar dan Kampung Alor Gunung serta Kampung Chegar di Seberang Pantai Johor dan turut memeriksa 66 warga asing membabitkan 41 warga Myanmar, Bangladesh (11) dan Indonesia (3).

Katanya, kesemua yang ditahan berusia antara 18 hingga 43 tahun termasuk lapan kanak-kanak berusia dua bulan hingga sembilan tahun.

"Hasil pemeriksaan kami mendapati seramai 39 daripada mereka membabitkan 21 lelaki, wanita (10), kanak-kanak lelaki (5) dan kanak-kanak perempuan (3) ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

"Pemeriksaan lanjut turut menahan masing-masing seorang lelaki warga Myanmar kerana memiliki cop keselamatan Imigresen palsu dan kesalahan melanggar syarat pas lawatan," katanya menerusi satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Katanya, kesemua yang ditahan dibawa ke Lokap Imigresen di Bangunan Kementerian Dalam Negeri Anak Bukit, di sini, untuk tindakan lanjut oleh Bahagian Penguat Kuasa Imigresen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2015 @ 3:32 PM