BEBERAPA Pati ditemui bersembunyi di dalam lubang tanah di celah pokok buluh dipercayai sarang ular  bagi mengelak ditahan JIM Kedah dalam operasi di tapak pembinaan sekitar Alor Setar, hari ini. FOTO ihsan JIM
BEBERAPA Pati ditemui bersembunyi di dalam lubang tanah di celah pokok buluh dipercayai sarang ular bagi mengelak ditahan JIM Kedah dalam operasi di tapak pembinaan sekitar Alor Setar, hari ini. FOTO ihsan JIM
Nordiana Shafiee


SERAMAI 27 pendatang asing tanpa izin (Pati) melakukan pelbagai helah termasuk bersembunyi dalam lubang tanah di celah pokok buluh dipercayai sarang ular sebelum ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah di tapak pembinaan di bandar raya Alor Setar, hari ini.

Operasi selama empat jam itu disertai 17 penguat kuasa JIM bersama 50 anggota Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang menjalankan pemeriksaan di empat tapak pembinaan berasingan.

Pengarah Imigresen negeri Zuhair Jamaludin berkata, pada serbuan bermula 9.30 pagi itu, 63 pekerja warga asing diperiksa di empat tapak pembinaan di Pumpong, Jalan Datuk Kumbar dan Alor Mengkudu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mengesan 27 Pati warga Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan Kemboja melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

Beliau berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 23 lelaki, tiga wanita dan seorang kanak-kanak perempuan berusia antara dua hingga 62 tahun.

“Kami menahan 14 lelaki dan tiga wanita Indonesia, Myanmar, Kemboja dan Bangladesh di lokasi pertama, diikuti tiga lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki Bangladesh di lokasi kedua.

“Di lokasi seterusnya, kami menahan dua lelaki Myanmar dan seorang lelaki Bangladesh dan di lokasi terakhir, dua lelaki warga Indonesia ditahan,” katanya.

Beliau berkata, ketika operasi itu, pihaknya turut mengesan beberapa Pati bersembunyi termasuk dalam bilik air bagi mengelak dicekup, selain cuba melarikan diri ke kawasan belukar berdekatan.

Menurutnya, semua Pati itu didapati melakukan kesalahan tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan sah, menetap lebih masa dalam negara dan melanggar syarat pas diberikan.

Katanya, mereka disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta sama dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, kemudian dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2018 @ 6:24 PM