Seramai 28 Pati termasuk seorang kanak-kanak ditahan dalam serbuan Op Sapu dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), di Skudai. FOTO IHSAN JIM
Seramai 28 Pati termasuk seorang kanak-kanak ditahan dalam serbuan Op Sapu dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), di Skudai. FOTO IHSAN JIM
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Seramai 28 pendatang asing tanpa izin (Pati) termasuk seorang kanak-kanak ditahan dalam serbuan Op Sapu dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Skudai, awal pagi tadi.

Pengarah Imigresen Johor Baharuddin Tahir berkata, serbuan itu dibuat susulan maklumat awam menyatakan terdapat warga asing tinggal di kawasan itu tanpa memiliki permit sah.

Katanya, JIM Johor menyerbu beberapa premis di sekitar Skudai pada jam 12.50 malam sebelum menahan Pati terbabit.

"Seramai 28 individu warga asing termasuk seorang kanak-kanak yang tidak memiliki permit ditahan dalam operasi itu.

"Hasil siasatan awal mendapati Pati terbabit menyewa ruang tamu dan bilik kecil di sekitar Skudai dengan kadar sewaan bermula RM450 hingga RM750 sebulan.

"Mereka yang ditahan membabitkan sembilan lelaki dan empat wanita Myanmar, lima lelaki, tiga wanita dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki warga Indonesia serta enam lelaki warga Bangladesh berusia antara 11 hingga 56 tahun," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Baharuddin berkata, mereka disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan sah dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa.

- tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2024 @ 1:42 PM