Philadelphia: Juara baru Piala Emas, Mexico akan menentang Amerika Syarikat di Pasadena, California pada 9 Oktober bagi merebut tempat ke Piala Konfederasi FIFA 2017.

CONCACAF yang menjadi badan induk bola sepak untuk zon Amerika Tengah dan Utara serta Caribbean, mengesahkan perlawanan itu sejurus selepas Mexico muncul juara Piala Emas apabila menang 3-1 ke atas Jamaica.

Amerika Syarikat sepatutnya mampu layak secara automatik ke Piala Konfederasi - tiket utama ke Piala Dunia 2018 - jika mereka berjaya mempertahankan Piala Emas.

Tetapi mereka dikejutkan Jamaica di separuh akhir sebelum sekali lagi tewas di tangan Panama ketika perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.

Amerika Syarikat akan mengharungi perlawanan persahabatan menentang Brazil dan Peru sebelum bertemu Mexico di Rose Bowl, Oktober nanti.

“Kami akan menyiapkan diri sepanjang September nanti untuk pertemuan play-off, Oktober nanti,” kata jurulatih Amerika Syarikat Jurgen Klinsmann.

“Impian kami ialah mahu melangkah jauh pada saingan Piala Dunia. Lebih baik berbanding apa yang kami capai di Brazil.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2015 @ 7:34 AM