AFP

Philadelphia: Jurgen Klinsmann masih belum tahu apa punca sebenar yang menjadikan pasukannya yang pernah menundukkan Belanda dan Jerman bulan lalu, sekadar menamatkan saingan di tangga keempat Piala Emas gara-gara dua kekalahan memalukan.

Selepas Panama mengatasi AS 3-2 menerusi penalti kelmarin apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada masa sebenar sekali gus membolehkan lawan menduduki tempat ketiga di kejohanan dwi-tahunan Amerika Utara itu, bekas bintang Jerman berkenaan tetap yakin anak buahnya pasti bangkit selepas ini.

“Kami boleh memenangi kejohanan ini tetapi kami gagal,” kata Klinsmann. “Kami akan belajar dari kekalahan ini, membuat penilaian dan berbincang dengan pemain-pemain. Masih ada kerja yang perlu kami lakukan.”

Empat hari lalu, Jamaica mengejutkan Amerika Syarikat 2-1 pada separuh akhir. Skuad yang diberi jolokan ‘Reggae Boyz’ itu yang bertemu juara enam kali Mexico pada final Piala Emas Ahad lalu, memiliki rekod pertemuan 1-13 dengan lapan seri menentang AS yang tumpas kepada pasukan Carribean itu selepas Haiti pada 1969.

Panama kini mempunyai rekod 1-12 dengan empat seri menentang AS melengkapkan kesengsaraan pasukan itu menerusi kemenangan penentuan sepakan penalti untuk meletakkan AS di tangga keempat kejohanan, keputusan kedua terburuk di Piala Emas sejak kecundang di suku akhir pada 2000 kepada Colombia juga dengan sepakan penalti.

“Kami belajar dari negatif kepada positif untuk maju ke depan,” kata penyerang AS DeAndre Yedlin.

“Saya mahu kekal positif. Ia akan banyak membantu jika anda bermain dengan tekanan.”

Panama meraih kemenangan tanpa penjaga gol utama Jaime Penedo dan penjaring terbanyak Luis Tejada yang digantung perlawanan selepas insiden kontroversi kekalahan 1-2 di separuh akhir kepada Mexico yang akhirnya mencetuskan inspirasi kepada skuad kendalian Hernan Gomez.

“Ia penting untuk meraih keputusan ini,” kata Gomez. “Ia saingan kumpulan yang sukar. Ia kemenangan moral buat kami. Kami bersedia untuk menjulang trofi.

“Ini adalah kejohanan Piala Emas yang baik untuk Panama. Mereka bermain dengan kemahiran tinggi serta beraksi dengan baik sebelum ke pusingan kelayakan Piala Dunia. Sasaran saya tetap mahu membawa pasukan ini ke Piala Dunia.

Kelayakan Piala Dunia 2018 di Russia November ini pasti memberikan amaran buat pasukan AS selepas kegagalan itu.

“Inilah yang akan berlaku pada kelayakan,” kata pemain pertahanan veteran AS DaMarcus Beasley. “Tiada perlawanan yang mudah.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2015 @ 7:53 AM