Philadelphia, AS: Jamaica yang dikenali sebagai Reggae Boyz sudah melakar sejarah apabila mara ke final Piala Emas CONCACAF menentang Mexico yang agak hambar dan perlu menjelaskan banyak perkara sekalipun jika mereka menang.

Jamaica muncul pasukan pertama Caribbean layak ke final kejohanan dwitahunan Amerika Utara, Tengah dan Caribbean itu apabila mengejutkan Amerika Syarikat 2-1 pada separuh akhir.

“Kami menyingkirkan satu pasukan besar, jadi ia membuktikan kami boleh bersaing dengan pasukan terbaik ketika ini,” kata penyerang Jamaica, Giles Barnes. “Ia pencetus keyakinan kami menjelang final. Kami tidak takut sesiapa.”

Sementara itu Mexico memerlukan keputusan kontroversi untuk menyumbat gol penalti lewat perlawanan menentang Costa Rica pada suku akhir dan Panama pada separuh akhir, dengan kedua-dua pasukan yang tewas itu meminta penganjur melakukan siasatan rasmi.

“Ia menjejaskan kejohanan,” kata jurulatih Panama, Hernan Dario Gomez. “Final tidak lagi ceria dan hilang tarikan.”

“Pengadil amat teruk,” jelas jurulatih Mexico, Miguel Herrera. “Tapi perkara ini berlaku. Kadang kala ada kontroversi. Ia bukannya kesalahan kami.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2015 @ 5:03 AM