PEMAIN Mexico Jesus Duenas (kanan) dihalang pemain Honduras pada aksi separuh akhir Piala Emas CONCACAF, semalam.
PEMAIN Mexico Jesus Duenas (kanan) dihalang pemain Honduras pada aksi separuh akhir Piala Emas CONCACAF, semalam.
AFP

Los Angeles: Juara bertahan Mexico merebut slot terakhir ke separuh akhir Piala Emas CONCACAF selepas menang 1-0 ke atas Honduras pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Universiti Phoenix.

Rodolfo Pizarro menjaringkan gol tunggal perlawanan di minit ke-9 selepas menerima hantaran rakan sepasukan sekali gus mencerahkan peluang Mexico untuk memenangi kejohanan buat kali kelapan.

Orbelin Pineda menjana gerakan menghasilkan gol di sebelah kanan sebelum membuat hantaran kepada Jesus Duenas yang melintangkan bola di depan gawang Honduras untuk memudahkan Pizarro melengkapkan kemenangan.

Lawan Mexico di separuh akhir ialah Jamaica - pasukan yang ditemui pada final edisi 2015. Kedua-dua pasukan pernah bertemu di peringkat kumpulan dan berkesudahan seri tanpa jaringan.

Mexico dan Jamaica akan mengharungi separuh akhir di Rose Bowl, Pasadena, California.

Amerika Syarikat dan Costa Rica pula akan bertembung dalam satu lagi separuh akhir di Stadium AT&T di Dallas, Texas.

Honduras tersingkir daripada saingan Piala Emas selepas gagal menjaringkan gol sepanjang empat perlawanan. Satu-satunya kemenangan mereka ialah mengatasi French Guiana yang dibatalkan penyertaan kerana menurunkan pemain tidak berdaftar.

Mexico tetap ke separuh akhir walaupun menurunkan pasukan kedua yang hanya disertai seorang pemain yang pernah beraksi di Piala Konfederasi.

Kemenangan ke atas Honduras menyaksikan Mexico kini melakar 10 perlawanan Piala Emas tanpa kalah.

Mexico berpeluang menambah jaringan tetapi cubaan penyerang mereka sering berjaya disekat pertahanan Honduras yang mengamalkan corak permainan bertahan.

Honduras hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-93 menerusi sepakan percuma tetapi rembatan pemain mereka tersasar.

Jurulatih Honduras Jorge Luis Pinto berkata, beliau tetap bangga dengan persembahan anak buahnya.

“Saya tidak gembira dengan keputusan tetapi permainan anak buah saya tetap membanggakan,” kata Pinto. “Kami mencuri tumpuan di Piala Emas menerusi sikap pemain walaupun kami tidak menjaringkan gol.”

Terdahulu, jaringan pada setiap babak menerusi Shaun Francis dan Romario Williams memastikan kemenangan ‘Reggae Boyz.’

“Ia bukan mudah,” kata penjaga gol Jamaica Andre Blake. “Kanada sebuah pasukan yang bagus. Selepas kami memperoleh gol kedua, saya rasa kami agak leka. Mereka merapatkan kedudukan. Kami berjaya bangkit dan memenangi perlawanan.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2017 @ 3:16 AM