ORANG utan jantan ketika dirawat di Klinik dan Kuarantin Rehabilitasi Orang Utan Sepilok, Sandakan. FOTO ihsan JHL Sabah
ORANG utan jantan ketika dirawat di Klinik dan Kuarantin Rehabilitasi Orang Utan Sepilok, Sandakan. FOTO ihsan JHL Sabah
Oleh Junaidi Ladjana


Sandakan: Selepas 14 hari menerima rawatan oleh pasukan perubatan dan veteriner Jabatan Hidupan Liar Sabah, orang utan jantan disahkan mati di Klinik dan kuarantin Rehabilitasi Orang Utan Sepilok, dekat sini, jam 4.30 petang semalam.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, William Baya berkata, orang utan berkenaan gagal diselamatkan kerana mengalami komplikasi dan jangkitan kuman akibat kecederaan teruk disebabkan tetakan parang di bahagian belakang badan.

"Haiwan berkenaan disahkan mati petang semalam selepas kira-kira dua minggu dirawat di Klinik dan Kuarantin Rehabilitasi Orang Utan, Sepilok, dekat sini.

"Walaupun pasukan perubatan dan veterinar sudah mencuba yang terbaik untuk menyelamatkannya tetapi malang kecederaan yang dialami sukar disembuhkan," katanya di sini.

Jumaat lalu, seorang pekerja ladang warga Indonesia dipenjara setahun oleh Mahkamah Majistret Sandakan, kerana mencederakan seekor orang utan jantan menggunakan parang du Gedau, Long Manis, Beluran, 13 Julai lalu.

Lelaki terbabit Syam Sul, 38, didakwa mengikut Seksyen 37 Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 yang memperuntukan hukuman penjara dua tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya kerana menyebabkan kecederaan kepada haiwan yang dilindungi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2015 @ 7:06 PM