SI ‘Bujang Lapuk’ ditempatkan di kolam untuk persembahan buaya di Taman Buaya Sandakan.
SI ‘Bujang Lapuk’ ditempatkan di kolam untuk persembahan buaya di Taman Buaya Sandakan.
PENGUNJUNG memberi makan ikan kap dalam kolam yang terdapat di Taman Buaya Sandakan.
PENGUNJUNG memberi makan ikan kap dalam kolam yang terdapat di Taman Buaya Sandakan.
PUSAT Pemulihan Orang Utan Sepilok tawar pengalaman menarik.
PUSAT Pemulihan Orang Utan Sepilok tawar pengalaman menarik.
 SEEKOR beruang madu memanjat pokok menarik perhatian pengunjung di Pusat Konservasi Beruang Madu Borneo di Sepilok.
SEEKOR beruang madu memanjat pokok menarik perhatian pengunjung di Pusat Konservasi Beruang Madu Borneo di Sepilok.
Hai Rozzaman Jala

Apabila berpeluang bercuti di Sabah, usah lupa berkunjung ke Sandakan, daerah kedua terbesar selepas Kota Kinabalu yang menawarkan pelbagai lokasi pelancongan menarik.

Antara destinasi yang menjadi tumpuan pelancong sama ada dari dalam atau luar negara ialah Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok, Pusat Konservasi Beruang Madu Borneo, Santuari Monyet Belanda Labuk Bay dan Taman Buaya Sandakan.

Ketika berkunjung ke Sandakan baru-baru ini, penulis bersama keluarga sempat mengunjungi tempat berkenaan yang bukan sahaja menarik, malah mempunyai keunikan tersendiri.

Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok yang terletak kira-kira 25 kilometer dari bandar Sandakan beroperasi setiap hari dalam dua sesi iaitu dari jam 9 hingga 11 pagi dan 2 hingga 4 petang manakala sesi memberi makan orang utan pula pada jam 10 pagi dan 3 petang.

Untuk masuk ke pusat itu bagi melihat habitat orang utan dan petugas memberi susu dan pisang kepada haiwan berkenaan, bayaran RM5 untuk pengunjung warganegara berumur 17 tahun ke atas (RM30 bukan warganegara) manakala RM2 bagi pengunjung bawah umur 17 tahun (RM15 bukan warganegara).

Pusat Konservasi Beruang Madu Borneo (BSBCC) yang bersebelahan pusat pemulihan itu pula menerima pengunjung setiap hari mulai jam 9 pagi hingga 3.30 petang.

Bayaran masuk RM5.30 dikenakan kepada warganegara berumur 18 tahun ke atas (RM31.80 bukan warganegara) dan RM2.10 bagi pengunjung berumur 12 - 17 tahun (RM15.90 bukan warganegara) dan percuma untuk kanak-kanak bawah 12 tahun dan warga emas.

BSBCC sebuah organisasi bukan kerajaan ditubuhkan pada 2008 dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah dan Land Empowerment Animals People (LEAP) menjalankan aktiviti konservasi beruang madu atau nama saintifiknya Helarctos Malayanus melalui penjagaan kebajikan haiwan, pendidikan, penyelidikan dan pemuliharaan.

Pengunjung berpeluang melihat sebahagian daripada 40 ekor beruang madu di pusat itu menerusi pelantar yang disediakan, namun tidak semua haiwan itu akan keluar kerana radius kawasan hutan itu luas.

Ketika kunjungan itu, kami dapat melihat beberapa ekor beruang madu berkeliaran di habitatnya untuk mendapatkan makanan manakala seekor daripadanya memanjat pokok tinggi berhampiran pelantar itu.

Di pusat itu, haiwan berkenaan mendapat perlindungan dari segi penjagaan kebajikan dan pemuliharaan dengan persekitaran habitat semula jadinya, sekali gus menjadi daya tarikan pelancong.

Satu lagi destinasi menarik yang perlu dikunjungi ialah Taman Buaya Sandakan yang terletak di Batu 8, Jalan Labuk. Ia pusat pemeliharaan buaya berlesen pertama di Sabah.

Taman itu yang menempatkan pelbagai jenis dan saiz reptilia beroperasi setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

Bayaran masuk untuk melihat pelbagai saiz buaya yang dipelihara di taman itu ialah RM10 untuk dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak berumur 4-12 tahun.

Pengunjung juga berpeluang melihat sesi memberi makan buaya setiap hari sebanyak tujuh kali antara jam 9.30 pagi hingga 4.30 petang. Persembahan buaya juga diadakan pada waktu tertentu.

Berhampiran kaunter menjual tiket masuk terdapat sebuah kolam yang menempatkan seekor ikan arapaima besar untuk tatapan pengunjung sementara menunggu tiket dibeli.

Sebaik melangkah masuk ke taman itu, pengunjung yang melalui jambatan kayu dapat melihat beberapa ekor buaya di dalam kolam konkrit di bawah laluan berkenaan.

Dua ekor buaya diberi nama Tako dan Taki ditempatkan dalam kolam di taman buaya itu yang dianggap reptilia paling tua di situ.

Tako yang berasal dari Lahad Datu berumur lebih 70 tahun seberat 800 kilogram dan sepanjang 5.18 meter dipindahkan ke pusat pemeliharaan itu berikutan keganasannya membunuh empat penduduk di daerah berkenaan.

Taki pula ditempatkan di taman buaya itu ketika berumur dua tahun dan usianya kini lebih 55 tahun dengan berat 700 kilogram dan sepanjang 4.8 meter.

Selain reptilia pelbagai saiz di beberapa kolam, taman buaya itu turut menempatkan ikan kap, keli, burung unta, memerang, rusa, burung merak, landak dan beberapa haiwan lain sebagai tarikan tambahan.

Pengunjung turut berpeluang memberi makan ikan dan rusa berkenaan.

Kenangan berkunjung ke Taman Buaya Sandakan perlu disimpan dalam memori kehidupan dengan merakam gambar kenangan bersama keluarga di ‘photo booth’ yang menyediakan replika buaya pelbagai gaya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2016 @ 12:47 PM