ORANG utan dipanggil Rosa, 16, melahirkan anak betina pada 26 Mei lalu di Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok, Sandakan. FOTO Ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah
ORANG utan dipanggil Rosa, 16, melahirkan anak betina pada 26 Mei lalu di Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok, Sandakan. FOTO Ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah
Olivia Miwil


PUSAT Pemulihan Orang Utan Sepilok, Sandakan, menerima kelahiran tiga bayi orang utan daripada tiga ibu, baru-baru ini.

Rosa, 16, seekor daripada orang utan yang kehilangan ibu pada usia muda telah melahirkan anak betina pada 26 Mei lalu, manakala Cinta, 11, melahirkan anaknya pada 3 Julai dan seekor lagi berumur 14 tahun dipanggil Lumiud melahirkan bayi jantan seminggu kemudian.

Bagaimanapun, Lumiud mempunyai masalah untuk menjaga anaknya yang baru lahir menyebabkan kedua-duanya terpaksa dipisahkan untuk dipantau oleh kakitangan pusat itu.

Jurucakap Jabatan Hidupan Liar Sabah, Siti Nur'Ain Ampuan Acheh berkata, kadar pembiakan bagi spesies itu yang lambat menjejaskan kemandiriannya.

"Orang utan diketahui mempunyai sejarah hidup yang paling lambat membiak berbanding mamalia lain dan faktor ini menyumbang kepada haiwan ini sebagai hidupan liar yang terancam.

"Orang utan betina hanya mula membiak semula pada usia antara lapan dan sembilan tahun," katanya dalam kenyataan, di sini.

Siti Nur'Ain berkata, walaupun anak orang utan itu akan bercerai susu, namun mereka akan tinggal bersama ibu selama sembilan tahun untuk belajar hidup sendiri.

Katanya, kewujudan pusat itu sejak tahun 1964 melengkapkan komitmen kerajaan untuk mengelak orang utan daripada pupus.

"Kebanyakan orang utan dibawa ke Sepilok adalah yang kehilangan ibu dan mereka tidak dapat bertahan dengan sendirinya. Jadi pusat ini membantu untuk membina kemahiran hidup mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 9:06 AM