SUHAILY menunjukkan produk kesihatan keluarannya.
SUHAILY menunjukkan produk kesihatan keluarannya.
Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Suri Niaga Resources (Suri Niaga) menyasarkan untuk melantik kira-kira 1,000 pengedar di seluruh negara dalam tempoh dua tahun akan datang selepas pembukaan sebuah kilang serta gudang baru tahun depan.

Pengasas dan Pengurusnya, Suhaily Hamzah berkata, pengedar dan stokis produk herba serta kecantikan itu turut bercadang melantik sekurang-kurangnya satu stokis bagi setiap negeri menjelang tahun depan bagi meluaskan rangkaian pemasaran produknya ke seluruh negara.

“Untuk pembinaan kilang pengeluaran dan gudang, kami sudahpun meninjau lokasi strategik dan bercadang membeli tanah di Klang, sekali gus meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran pada masa akan datang,” katanya kepada Bisnes Metro di sini, baru-baru ini.

Suri Niaga ditubuhkan pada 2006 dan berjaya mengembangkan operasi perniagaan melalui modal pinjaman RM100,000 daripada Koperasi Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koperasi Sahabat).

Pada masa ini, syarikat Bumiputera itu memiliki dua cawangan perniagaan di Medan MARA dan Setiawangsa, Kuala Lumpur di samping 20 pengedar atas talian.

Beliau berkata, syarikatnya baru saja memperkenalkan produk set Herba Resdung Kayu Manis melalui formulasi berasaskan kayu manis dihasilkan di sebuah kilang yang terletak di Sarawak.

“Kami melabur RM100,000 bagi modal permulaan dan pembangunan produk ini yang mencatatkan jualan positif sejak mula memasuki pasaran sejak Ogos tahun lalu,” katanya.

“Modal permulaan untuk menjadi pengedar adalah kurang daripada RM1,000 dan pemberian diskaun sebanyak 30 peratus bagi pembelian 30 set Herba Resdung Kayu Manis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 November 2014 @ 5:06 AM