TULAR video memaparkan sekumpulan lelaki tolak-menolak dan bergaduh semasa perlawanan bola sepak di Stadium TLDM Lumut.
TULAR video memaparkan sekumpulan lelaki tolak-menolak dan bergaduh semasa perlawanan bola sepak di Stadium TLDM Lumut.
Muhamad Lokman Khairi


Lumut: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung kes pergaduhan membabitkan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Stadium Pangkalan TLDM Lumut, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, dalam kejadian 7.15 malam itu, mangsa lelaki, 26, cedera akibat dipukul beramai-ramai.

Menurutnya, mangsa diserang ketika menyaksikan perlawanan bola sepak antara unit Markas Pangkalan TLDM Lumut (MKPL) dan Pasukan Khas Laut (PASKAL).

"Dakwa mangsa, pemukul menuduh dia menunjukkan isyarat jari tengah kepada mereka sedangkan mangsa tidak berbuat demikian.

"Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian muka, rusuk kanan, leher kiri dan kepala serta sudah menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamed Nordin berkata, kes disasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana melakukan rusuhan.

"Jika sabit kesalahan, suspek hendaklah dihukum dengan penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

"Mereka yang mempunyai sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Sarjan Mohd Nazari Yaakob di talian 017-5729646 bagi membantu siasatan pihak polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 5:58 PM