USAHAWAN IKS, Omardani Md Daud (kiri) bersama Mohd Yusri menunjukkan produk kecantikkan Paul Penders.
USAHAWAN IKS, Omardani Md Daud (kiri) bersama Mohd Yusri menunjukkan produk kecantikkan Paul Penders.
Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Sense of Natural Beauty Sdn Bhd, pengeluar dan pengedar produk Paul Penders mengunjurkan jualan sebanyak RM500,000 menjelang hujung tahun ini melalui promosi secara agresif di media dan penyertaan menerusi pelbagai aktiviti jualan di dalam dan luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Yusri Harun berkata, syarikat optimis sasaran terbabit dapat direalisasikan berdasarkan sambutan diterima sehingga kini di mana syarikat berjaya mencatatkan jualan purata sebanyak RM50,000 pada setiap bulan meskipun ia baru berada di pasaran tempatan sejak penghujung tahun lalu.

“Selain itu, keberkesanan dan kelebihan produk ini dilihat menjadi daya penarik utama kepada orang ramai untuk membeli jenama Paul Penders ini dan ia dijangka terus membantu usaha kami dalam mencapai jualan sebanyak RM1.5 juta pada tahun depan,” katanya kepada Bisnes Metro, di sini, semalam.

Paul Penders adalah produk penjagaan kulit, penjagaan rambut dan kosmetik berasaskan bahan organik di mana ia sudah pun berada di pasaran dunia sejak 40 tahun lalu termasuk di Amerika Syarikat, Eropah, Timur Tengah dan Australia dengan produk paling terkenal adalah gincu bibir, pencuci muka dan produk penjagaan muka.

Ketika diminta mengulas mengenai rangkaian pemasarannya, beliau berkata, syarikat sedang mengukuhkan aspek terbabit dengan menyasarkan pelantikan lebih ramai stokis, ejen mudah alih dan pengedar di seluruh negara bagi meluaskan pasaran produk Paul Penders di Malaysia.

Menurutnya, syarikat turut menawarkan perniagaan berkonsepkan kios di pasar raya besar seluruh negara bagi memberi peluang perniagaan kepada golongan siswazah melalui dua jenis skim yang berharga RM75,000 dan RM100,000 di mana ia juga dilengkapi dengan sesi latihan dan rundingan perniagaan untuk memastikan mereka mampu menjana pendapatan.

“Untuk jangka panjang, kami menyasarkan untuk membuka 500 kios dalam tempoh dua tahun akan datang dan turut merancang untuk mengadakan program francais secara lebih teratur pada tempoh masa sama,” katanya.

Pada masa sama, Yusri berkata syarikatnya sedang mengadakan rundingan dengan beberapa syarikat perkhidmatan jualan atas talian terkemuka untuk memasarkan produk Paul Penders melalui platform itu dan ia dijangka selesai menjelang Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2015 @ 7:19 AM