GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Pegawai penguat kuasa yang disyaki terbabit sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa akan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor, esok.

Sumber berkata, suspek ditahan menerusi satu operasi khas Op Jaguar yang dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pada pertengahan tahun lalu.

"Lelaki berusia 50-an itu disyaki menerima sogokan daripada sindiket untuk tidak menyerahkan sisik tenggiling kepada Jabatan Perhilitan.

"Sisik tenggiling dianggarkan seberat 1.8 tan iaitu barang kes rampasan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) tidak diserahkan kepada Jabatan Perhilitan bagi tujuan pelupusan.

"Perbuatan itu disyaki dilakukan sekitar September hingga Disember 2019 dari Stor Penguatkuasaan Pengkalan Marin, Pelabuhan Klang Utara," katanya.

Sementara itu, Pengarah AML SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan suspek akan didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Media sebelum ini melaporkan, sisik tenggiling dipercayai diseludup masuk ke negara ini dan Malaysia sebagai transit sebelum dihantar ke China dan negara-negara lain yang mendapat permintaan tinggi.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), Malaysia berperanan sebagai sebuah negara sumber dan transit dalam pemerdagangan dan penyeludupan hidupan liar terancam seperti harimau, tenggiling, gading gajah dan kura-kura.

Op Jaguar yang dilaksanakan pada pertengahan tahun lalu di lokasi di Klang, Selangor dan Kuala Lumpur menyaksikan SPRM berjaya merampas hampir dua tan sisik haiwan itu dianggarkan dijual sehingga mencecah RM13,000 per kilo di pasaran gelap dengan nilai keseluruhan dianggarkan bernilai RM23.4 juta.

Operasi yang dijalankan hasil maklumat agensi penguat kuasa dari Amerika Syarikat, United Kingdom dan Hong Kong itu turut menumpaskan sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa yang dipercayai turut menyogok penguat kuasa selain terbabit aktiviti pengubahan wang haram.

Hasil operasi itu juga, SPRM menyita pelbagai jenis kenderaan mewah serta membekukan beberapa akaun bank bernilai jutaan ringgit disyaki milik sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa.

Penyitaan dan pembekuan kesemua aset itu dibuat susulan penahanan 10 individu termasuk pemilik syarikat serta ejen sindiket yang membabitkan warganegara Malaysia, Bangladesh, Pakistan dan Nepal dalam operasi khas berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 5:52 PM