NOR Idawati menunjukkan produk minuman segera Sarbat Soul.
NOR Idawati menunjukkan produk minuman segera Sarbat Soul.
NOR Idawati melekatkan label pada produk minuman segera Sarbat Soul keluaran syarikatnya.
NOR Idawati melekatkan label pada produk minuman segera Sarbat Soul keluaran syarikatnya.
Oleh Muhammad Shalaby Shahbuddin


Apabila sebut air sarbat, ramai terba­yang minuman warisan nenek moyang yang menjadi pilihan untuk berbuka puasa terutama ketika Ramadan selain menghilangkan dahaga serta menyegarkan tubuh pada musim panas.

Jika sebelum ini air sarbat hanya dijual di warung, kedai tepi jalan atau bazar Ramadan, ia kini dibotolkan sekaligus dimodenkan untuk terus berfungsi sebagai minuman penyejuk badan dan kesihatan.

Pemilik syarikat Profit Makmur Enterprise Nor Idawati Mat Isa, 35, berkata, produk minuman keluaran syarikatnya Sarbat Soul dibotolkan supaya mudah dibawa ke mana saja dan dapat dinikmati dengan segera pada bila-bila masa.

“Sarbat Soul berbeza dengan produk lain di pasaran atau dijual di warung yang perlu dibancuh terlebih dulu dan perlu dihabiskan segera, malah ia sesuai mengikut peredaran masa kerana masih mengekalkan ramuan serta bahan aslinya.

“Konsep mesra pelanggan bersesuaian pada zaman sekarang kerana mengamalkan konsep Buka, Minum, Tutup sekali gus menunjukkan ia mudah dibawa dan dinikmati dalam botol,” katanya ketika ditemui di Pusat Aperantis Industri Asas Tani Jabatan Pertanian Pulau Pinang, Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, baru-baru ini.

Nor Idawati berkata, produk asas tani yang dihasilkannya itu menggunakan ramuan dan bahan bersih, malah dibancuh dengan teliti serta berkualiti.

Beliau berkata, Sarbat Soul mengandungi buah asli iaitu kurma merah, biji selasih dan longan untuk menghilangkan dahaga, menyejuk serta menyegarkan badan.

“Sebanyak 15 rempah dan herba terpilih digunakan untuk menghasilkan Sarbat Soul antaranya kulit kayu manis, bunga raya kering, akar sarbat, buah pala, bunga cengkih, selasih dan buah longan kering.

“Ia berbeza dengan air sarbat biasa kerana ramuan yang dihasilkan mengandungi pelbagai khasiat antaranya memulihkan pernafasan tersumbat, perbaiki ‘mood’ dan hormon, mulut berbau, sakit gigi, gusi dan sakit perut,” katanya.

Nor Idawati berkata, ramuan berkenaan dipilih sendiri daripada beberapa pembekal bahan mentah sekitar Pulau Pinang bagi menjamin kesegaran dan keaslian supaya dapat memenuhi citarasa peng­guna selain baik untuk kesihatan.

Katanya, sebelum menghasilkan Sarbat Soul, syarikatnya menghasilkan minuman suplemen kesihatan dinamakan Herboost menggunakan pelbagai ramuan pokok herba seperti belalai gajah, beluntas, sambung nyawa dan kunyit terus hitam untuk memberi 1001 khasiat, kebaikan serta kesihatan kepada pengguna.

“Antara kebaikannya ialah merawat kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung, sembelit, buah pinggang, kolesterol, melancarkan haid, keradangan, batuk dan sinus.

“Malah, ia turut mengandungi madu gred AAA yang dibawa terus dari Daerah Zabid, Yaman iaitu antara madu terbaik di dunia. Namun, ibu mengandung tidak digalakkan meminum Herboost,” katanya yang memulakan perniagaan dengan modal RM6,000 pada 2 Oktober tahun lalu.

Menurutnya, bahan mentah tanaman herba itu diperoleh dari sebuah taman herba di Ipoh, Perak selain beliau turut menanam sendiri 20 jenis tanaman dan pokok herba di halaman rumahnya di Nibong Tebal.

“Suplemen herba itu sesuai digunakan semua golongan lelaki dan wanita tanpa mengira peringkat umur dalam mengatasi masalah penyakit yang biasa dialami masyarakat Malaysia ketika ini.

“Sarbat Soul 330 mililiter (ml) dijual pada RM2.20 hingga RM2.50 sebotol sementara Herboost hanya RM28 sebotol (250ml) dan Sarbat Soul mampu dijual 1,600 botol sebulan dan Herboost, 1000 botol,” katanya.

Beliau berkata, dalam strategi pemasaran dia mempromosikan produk di pasar raya, kedai kosmetik, toko jamu, stesen minyak, hentian rawat dan rehat (R&R), kilang, lapangan terbang dan sekitar Seberang Perai, Tengah Perak, Selatan Kedah, Georgetown hingga ke Parit Buntar, Perak.

“Kami sedia menerima tempahan untuk sebarang majlis rasmi bagi menyediakan Sarbat Soul. Malah ejen, pengedar dan stokis diperlukan bagi yang berminat,” katanya.

Beliau turut mendapat bimbingan latihan daripada Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2015 @ 10:09 AM