Norish Karman
Norish Karman
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Pelakon, Norish Karman, 50, sedih dan kecewa apabila banyak tawaran berlakon yang diterima memintanya untuk membuka tudung sejak beberapa tahun lalu.

"Sejak saya bertudung pada 2018, saya tidak mendapat tawaran berlakon dan ia memberi kesan besar pada sumber kewangan dan ekonomi keluarga.

"Selepas bercerai, saya juga tidak dapat sebarang harta daripda bekas suami. Rumah dan kereta dimiliki dengan hasil usaha sendiri bersama anak-anak.

"Saya juga berhempas-pulas untuk membesarkan lapan anak (empat anak angkat) sejak 12 tahun bergelar ibu tunggal," katanya kepada Harian Metro.

Mengenai tudung, kata pelakon filem Sayang Salmah itu, dia juga pernah bertanya pandangan anak-anak untuk membuka tudung ketika berlakon tetapi tidak dipersetujui mereka.

"Sebagai manusia, iman kita turun dan naik. Saya akui cabaran besar untuk terus istiqamah.

"Saya juga berharap dapat undangan persembahan nyanyian seperti acara korporat, majlis kahwin dan sebagainya selepas ini kerana tidak perlu untuk membuka tudung," katanya yang pernah mewakili negara menerusi pertandingan World Championship Of Performing Arts (WACOPA) di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 2010.

Kali terakhir Norish berlakon ialah watak pembantu dalam drama Perempuan Itu yang bersiaran di TV3 sebelum ini.

Terdahulu, Norish berkongsi melalui hantaran Instagram bahawa banyak tawaran lakonan dan pengacaraan yang ditawarkan memintanya untuk membuka tudung.

Norish juga mempersoalkan adakah rambutnya yang menjadi subjek utama untuk orang menilai bakat lakonannya itu.

Pada masa sama, dia turut meminta pandangan daripada pengikutnya di Instagram jika dia buat keputusan untuk menanggalkan tudung demi untuk mendapat tawaran berlakon.

Perkongsian Norish turut mendapat maklum balas daripada pengikutnya termasuk rakan artis yang meminta dirinya supaya terus istiqamah.

Norish pernah berkahwin dengan Datuk Hashimuddin Abdul Kadir pada 11 Januari 1998 dan bercerai pada 15 Julai 2008.

Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan tiga anak iaitu Muhammad Haqiem Amany, 25; Muhammad Hady Amieran, 21 dan Nur Hanyz Amanda, 20.

Norish turut memiliki seorang lagi anak Haq Alexander, 13 dan empat anak angkat iaitu Hasbi Fadullah, 13; Hasya Farahiya,11; Haziq Fadillah, 10; dan Hazra Farisya, 5.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 5:47 PM