DUN Pulau Pinang. FOTO Bernama
DUN Pulau Pinang. FOTO Bernama
BERNAMA

Georgetown: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini sebulat suara meluluskan usul menyokong perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Jumaat lepas agar Israel menghentikan serangan ke atas wilayah Rafah dan Palestin.

Usul tanpa pemberitahuan yang dikemukakan oleh Gooi Hsiao Leung (PH-Bukit Tengah) itu turut mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel.

"Sehingga hari ini, seramai 36,000 warga Palestin telah dibunuh dan infrastruktur asas untuk hidup dimusnahkan.

"Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga memaklumkan seramai 1.1 juta orang di Palestin akan mengalami kebuluran dan kelaparan sejak bermula serangan ke atas Rafah," katanya.

Usul itu diluluskan sebulat suara tanpa bahas dan menyaksikan majoriti Ahli DUN berdiri untuk menyatakan sokongan.

Turut diluluskan pelantikan Ahli-Ahli Lembaga Rayuan di bawah Enakmen Kebebasan Maklumat Pulau Pinang 2010 (Enakmen 16) bagi tempoh tiga tahun mulai 1 Jun ini hingga 31 Mei 2027.

Mereka ialah Datuk Baldev Singh Gurchan Singh sebagai Pengerusi, Datuk Abdul Fareed Abdul Gafoor sebagai Timbalan Pengerusi diikuti Harinder Singh Malkit Singh, Carolyn Oh Li Lin, Datuk Nagarethinam Rengasamy Pillay dan Regina Amalorpava Mary Aboorvasamy selaku Ahli.

Mesyuarat Pertama Penggal Kedua DUN Pulau Pinang ke-15 itu, yang berlangsung sejak 24 Mei lepas, turut menyaksikan 80 soalan lisan dan 789 soalan bertulis dikemukakan.

Persidangan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 6:55 PM