ADHAM  (tiga dari kanan) menyerahkan tajaan kepada Mohd Joh (dua kiri) dengan disaksikan  Shahelmey.
ADHAM (tiga dari kanan) menyerahkan tajaan kepada Mohd Joh (dua kiri) dengan disaksikan Shahelmey.
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah FC menerima satu lagi tajaan korporat bernilai RM1.5 juta, menjadikan jumlah keseluruhan RM7 juta diterima kelab itu bagi musim 2024 / 2025 setakat ini.

Tajaan terbaharu itu diterima daripada syarikat Zirbad Resources Sdn Bhd, syarikat tempatan yang berkecimpung dalam kerja kejuruteraan awam dan pembinaan.

Perkembangan berkenaan dikongsikan Sabah FC menerusi satu kenyataan ringkas selepas majlis penyampaian tajaan yang disaksikan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).

Sumbangan tajaan syarikat itu disampaikan Pengarah Urusannya, Adham Abdul Hamid kepada Pengurus Besar Sabah FC, Mohd Joh Wid.

"Satu lagi tajaan korporat diterima oleh Sabah FC sebanyak RM1.5 juta dari Zirbad Resources Sdn Bhd. Sabah FC merakamkan jutaan terima kasih di atas tajaan ini," kata kenyataan itu.

Pada 18 April lalu, Sabah FC menerima tajaan RM5 juta daripada syarikat konsesi air, Jetama Sdn Bhd (Jetama) menjadikan syarikat berkenaan sebagai penaja utama skuad Sang Badak pada musim ini, menggantikan Sawit Kinabalu pada musim lalu.

Mohd Joh sebelum ini menyatakan harapannya agar tajaan diterima Sabah FC dapat meringankan beban skuad Sang Badak dalam menanggung kos operasi pasukan sepanjang musim ini.

Katanya, Sabah FC sentiasa mengalu-alukan syarikat swasta terutama GLC untuk tampil membantu skuad Sang Badak dan berharap akan ada lagi yang akan tampil memberikan sumbangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 6:12 PM