PEGAWAI KKM memeriksa produk beracun  di sebuah gudang di Rawang, Selangor, semalam.
PEGAWAI KKM memeriksa produk beracun di sebuah gudang di Rawang, Selangor, semalam.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Gombak: Tidak ubah seperti aktiviti ‘kitar semula’ apabila ribuan tablet ubat tahan sakit serta kencing manis yang sudah luput tarikh dijual semula kepada orang ramai menggunakan botol baru.

Itu antara penipuan terancang dilakukan sebuah syarikat pengilang kosmetik dan produk makanan kesihatan yang beroperasi di kawasan perindustrian di Rawang di sini, sejak sekian lama.

Siasatan mendapati pemilik syarikat akan menggunakan ubat yang sudah luput tarikh sebagai modal untuk perniagaan dengan berselindung di sebalik jenama produk herba tradisional.

Kegiatan licik itu bagaimanapun dibongkar sepasukan pegawai Bahagian Penguatkuasa Farmasi (BPF) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diketuai Timbalan Pengarah Cawangan Perisikan Operasi BPF KKM, Adnan Salimin yang melakukan serbuan ke premis itu pada jam 11 pagi Sabtu lalu.

Jurucakap KKM berkata, operasi dilakukan selepas BPF mengesyaki premis itu dijadikan lokasi bagi mengilang ubat-ubatan tidak berdaftar mengandungi racun berjadual corticosteroid - dexamethasone.

“Bagaimanapun ketika serbuan dilakukan, pihak BPF mendapati empat pekerja kilang itu melakukan tugas membungkus produk diragui mengandungi pil gabapentin untuk ubat merawat sawan selain pil meloxicam untuk menahan sakit.

“Pemeriksaan pada gudang kilang itu turut menemui beribu botol produk campuran tablet gilbenclamide dan tablet metformin untuk merawat penyakit kencing manis yang tidak memiliki kelulusan dan pendaftaran dari KKM,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut kemudian menemui beratus kotak ubat-ubatan berdaftar gabapentin, meloxicam, gilbenclamide dan metformin yang sudah luput tarikh di gudang sama.

“Pihak kilang didapati mengeluarkan ubat-ubatan itu daripada kotak asal sebelum dimasukkan semula ke dalam botol-botol kecil dengan menggunakan jenama syarikat itu. Kami percaya produk ini dijual kepada orang ramai yang menyangka ia produk herba tradisional,” katanya.

Menurutnya, tindakan itu jelas satu penipuan dan boleh membahayakan nyawa pengguna apatah lagi ubat-ubatan itu tidak boleh digunakan tanpa nasihat dan preskripsi doktor.

“Susulan itu pegawai BPF merampas semua ubat-ubatan itu dianggarkan bernilai lebih RM70,000 untuk tindakan lanjut mengikut Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan Akta Racun 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 8:29 AM