KETUA pasukan Liverpool, Jordan Henderson mendengar arahan pegawai pasukan pada sesi latihan. FOTO Bernama
KETUA pasukan Liverpool, Jordan Henderson mendengar arahan pegawai pasukan pada sesi latihan. FOTO Bernama
PEMAIN Liverpool,  Jordan Rossiter (tengah) mengawal keadaan ketika diasak pemain Felda United, Indra Putra Mahayuddin (kiri) pada sesi latihan rasmi. FOTO Osman Adnan
PEMAIN Liverpool, Jordan Rossiter (tengah) mengawal keadaan ketika diasak pemain Felda United, Indra Putra Mahayuddin (kiri) pada sesi latihan rasmi. FOTO Osman Adnan
PEMAIN Liverpool, Kolo Toure (kiri) memberi nasihat kepada pemain Felda United, Ferris Danial selepas  sesi latihan. FOTO Osman Adnan
PEMAIN Liverpool, Kolo Toure (kiri) memberi nasihat kepada pemain Felda United, Ferris Danial selepas sesi latihan. FOTO Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Andai pasukan Pilihan Malaysia mengharapkan sedikit simpati daripada kelab gergasi Inggeris, Liverpool dalam pertemuan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok, mereka boleh melupakan sahaja impian itu.

Bagi pemain tengah The Reds, Adam Lallana, tiada laluan mudah untuk tuan rumah ketika perlawanan pramusim itu cukup penting bagi semua pemain kelab tersebut memikat pengurus pasukan, Brendan Rodgers menjelang permulaan saingan musim 2015/16.

"Kami menganggap aksi pramusim cukup penting dan kini tinggal dua atau tiga perlawanan lagi untuk kami memikat pengurus sebelum musim baru bermula.

"Ini adalah peluang terbaik untuk pemain membuktikan kecergasan serta gambaran awal apa yang bakal kami harungi dalam perlawanan pertama EPL (Liga Perdana Inggeris)," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan rasmi The Reds di Stadium Nasional, malam ini.

Pemain antarabangsa England berusia 27 tahun itu juga teruja dengan sokongan hebat yang ditunjukkan penyokong tempatan The Reds sejak ketibaan pasukan itu dari Australia, Isnin lepas, sambil diiringi lagu rasmi kelab 'You'll Never Walk Alone'.

Ketua pasukan, Jordan Henderson turut memuji keadaan padang di Stadium Nasional.

"Keadaan padang cukup baik. Penyokong Liverpool di sini juga hebat dan saya harap lebih ramai yang akan datang menyaksikan perlawanan malam esok," katanya.

Liverpool membelasah kelab Liga Super, Felda United 7-0 dalam satu perlawanan latihan selepas sesi latihan rasmi itu tamat.

Kelab Merseyside itu memulakan Jelajah Pramusim mereka dengan menundukkan Thai All Stars 4-0 di Bangkok pada 14 Julai dan menundukkan kelab Liga Australia, Brisbane Roar 2-1 tiga hari kemudian, sebelum mengalahkan Adelaide United 2-0 pada Isnin lepas.

The Reds akan meneruskan perlawanan terakhir pramusim mereka di Eropah Utara menentang kelab Finland, HJK Helsinki pada 1 Ogos.

Kali terakhir Liverpool beraksi di Malaysia adalah pada 2011 apabila skuad bimbingan Datuk K Rajagobal memberikan aksi membanggakan di Stadium Nasional yang dipenuhi penonton sebelum tewas 3-6.

Sehingga kini, 60,000 tiket sudah terjual. Tiket berharga RM58 (pelajar), RM88, RM158 serta RM228 dan tempat duduk VIP terhad pada harga RM428 dan RM328.

Tiket boleh dibeli secara dalam talian ticketpro.com.my, hotline +603-7880-7999, cawangan Ticketpro dan New Balance serta Sports Empire. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2015 @ 10:46 PM