PEMAIN Manchester Reds, Yorke (dua dari kiri) dan Sheringham (tiga dari kiri) serta pemain Liverpool Reds, Riise (tiga dari kanan) dan James (dua dari kanan) pada sidang media, hari ini. FOTO FIRDAUS HASHIM
PEMAIN Manchester Reds, Yorke (dua dari kiri) dan Sheringham (tiga dari kiri) serta pemain Liverpool Reds, Riise (tiga dari kanan) dan James (dua dari kanan) pada sidang media, hari ini. FOTO FIRDAUS HASHIM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bekas penjaga gol England dan Liverpool, David James mengakui menjadikan kelab tempatan dari Pantai Timur, Terengganu FC (TFC) sebagai pasukan paling istimewa di hatinya.

Jelas James, beliau mula jatuh 'cinta' dengan skuad Penyu itu selepas hadir pada perlawanan akhir Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), musim lalu.

Katanya, dalam aksi final antara TFC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) itu menyaksikan beliau meminati pasukan Pantai Timur itu.

"Saya ke sini tahun lalu dan menyaksikan aksi Terengganu menentang JDT. Terus terang, Terengganu adalah pasukan kesukaan saya," katanya pada sesi memperkenalkan barisan pemain untuk aksi pertunjukan 'Battle of the Reds' di sini, hari ini.

Perlawanan 'Battle of the Reds' membabitkan bekas pemain Manchester United (MU) dan bekas tonggak utama Liverpool itu bakal berlangsung di SNBJ, Sabtu ini.

Sementara itu, legenda MU, Dwight Yorke mengakui tiada pemain skuad masa kini yang boleh dipanggil untuk aksi pertunjukan itu.

"Tiada pemain (Manchester United) yang boleh masuk dalam pasukan kami kerana kami lebih bagus berbanding mereka.

"Malah kami rasa kami mampu menewaskan pasukan semasa United," kata Yorke yang tampil sebagai pengurus pasukan itu.

Dalam perkembangan lain, jualan tiket bagi aksi itu cukup memberangsangkan apabila 25,000 keping tiket sudah terjual.

Azman Fahmi yang bertindak selaku Pengarah Eksekutif Projek Battle of The Reds, AllStar Sports, berkata, pihaknya menyasarkan 30,000 tiket akan dijual menjelang aksi Sabtu ini.

"Kehadiran kebanyakan pemain pada hari ini menambahkan lagi keterujaan yang kian terasa menjelang hari perlawanan, Sabtu ini.

"Selain itu, peminat tidak sabar menunggu untuk menyaksikan pertemuan dua pasukan dan tiket yang laris menunjukkan sambutan hangat terhadap perlawanan ini," kata Azman.

Legenda MU yang bakal memperkuatkan pasukan Manchester Reds diketuai Teddy Sheringham, David May, Wes Brown, Clayton Blackmore, Keith Gillespie, Ben Thornley, Eric Djemba Djemba, Paul Rachubka, Russell Beardsmore, Lee Martin, Danny Webber, Mikael Silvestre, Quinton Fortune, Dimitar Berbatov, Erik Nevland dan Dion Dublin.

Manakala Liverpool Reds pula dipimpin legenda Sepanyol, Luis Garcia dan James selain Emile Heskey, Glen Johnson, John Arne Riise, Patrik Berger, Vladimir Smicer, Steve McManaman, Jason McAteer, Florent Sinama Pongolle, John Durnin, David Thompson, Jermaine Pennant, Djibril Cisse dan Phil Babb.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 9:13 PM