PENYERANG Liverpool, Danny Ings (kiri) merembat masuk gol pada sesi latihan rasmi pasukan dengan FELDA United, semalam.
PENYERANG Liverpool, Danny Ings (kiri) merembat masuk gol pada sesi latihan rasmi pasukan dengan FELDA United, semalam.

Kuala Lumpur: Hanya kemenangan mampu menjadi hadiah terbaik buat peminat Liverpool di Malaysia dan pemain tengah kelab itu, Lucas Leiva berharap ia mampu menjadi kenyataan hari ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Pemain kelahiran Brazil itu berkata, jika menang ia akan menjadi satu kenangan penuh bermakna dan membayar semula apa yang diberikan oleh penyokong selama ini.

“Setakat ini kami melalui jelajah pramusim dengan baik sekali walaupun perlu berkunjung dan mengharungi perjalanan jauh,” katanya selepas sesi latihan rasmi dan perlawanan latihan bertemu FELDA United semalam.

Jelasnya, dia mengharapkan satu permainan yang menarik hari ini dan menamatkan jelajah pramusim dengan penuh cemerlang sebelum pulang ke England seterusnya menghadapi musim baru Liga Perdana Inggeris.

“Setakat ini sambutan yang diberikan penyokong sungguh luar biasa tidak kira di mana kami pergi. Mereka akan menunggu dan menantikan kehadiran kami dengan penuh sabar,” kata pemain berusia 28 tahun itu.

Dalam pada itu, Lucas mengakui gembira dengan kehadiran penyerang baru Liverpool, Christian Benteke yang dibeli dari Aston Villa.

“Sebelum ini ketika bertembung dengannya dalam saingan EPL memang dia sukar untuk dikawal. Dia seorang pemain yang mempunyai susuk tubuh sasa dan kuat.

“Saya yakin penyokong Liverpool juga amat menghormatinya ketika kami berdepan dengan pasukan lamanya sebelum ini. Saya harap dia akan memberikan aksi bertenaga bersama kami dan sentiasa menjaringkan gol,” kata pemain antarabangsa Brazil itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2015 @ 11:21 AM