Kuala Lumpur: Pemain tengah Liverpool, Adam Lallana mengakui jelajah pramusim sangat penting buat semua pemain kerana ia peluang terbaik buat mereka menarik perhatian pengurus, Brendan Rodgers.

Menurut pemain berusia 27 tahun itu, mereka akan bertungkus-lumus untuk memberikan aksi terbaik seterusnya disenaraikan dalam kesebelasan utama menjelang permulaan musim baru Liga Perdana Inggeris.

“Ini peluang terbaik kami mencuri perhatian pengurus dan di sini juga boleh mengukur tahap kecergasan kami selepas berehat panjang,” katanya di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.

Bekas pemain Southampton itu juga mengakui tertarik dengan suasana latihan dan sambutan diberikan peminat pada sesi latihan semalam seterusnya tidak sabar untuk turun beraksi menentang Pilihan Malaysia hari ini.

“Saya juga gembira melihat keadaan rumput Stadium Nasional, Bukit Jalil dan esok (hari ini) ia akan kelihatan lebih cantik apabila mereka akan menipiskan rumput semata-mata untuk perlawanan menentang Pilihan Malaysia.

“Jelajah pramusim memang sangat penting buat semua pemain dan kami memandang serius setiap perlawanan yang dihadapi,” kata pemain yang sudah mewakili England sebanyak 15 kali itu.

Walaupun bertemu Pilihan Malaysia kendalian Dollah Salleh, Lallana tidak menganggap ia satu perlawanan mudah dan tidak sabar untuk turun beraksi hari ini.

Pada perlawanan latihan bertemu FELDA United semalam pasukan bimbingan Rodgers itu menang 7-0 dengan disaksikan kira-kira 6,000 penyokong setia Reds.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2015 @ 11:22 AM