RAZMAN (kanan) bakal kemudi Pilihan Malaysia gempur Liverpool, malam esok.
RAZMAN (kanan) bakal kemudi Pilihan Malaysia gempur Liverpool, malam esok.
Oleh Mohd Firdaus Hashim


Petaling Jaya: Tonggak pertahanan kental Pahang, Mohd Razman Roslan diberi tugas memikul tanggungjawab sebagai kapten Pilihan Malaysia pada aksi persahabatan menentang kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Liverpool, malam esok.

Ketua jurulatih Dollah Salleh berkata, beliau memilih Razman sebagai kapten berikutan ketiadaan beberapa pemain senior seperti Safiq Rahim dan Safee Sali yang tidak dipanggil kali ini selain pengalaman luas dimiliki oleh kapten Tok Gajah terutama di pentas antarabangsa.

Dollah berkata, berdasarkan senarai pemain yang ada ketika ini calon terbaik bagi memikul tanggungjawab itu sudah pastinya milik Razman dan berharap pemain berusia 32 tahun itu mampu memimpin rakan lain ketika melayan kunjungan kelab EPL di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

“Razman akan memikul amanah itu. Kalau tengok kepada pemain yang ada, nampak Razman lebih berpengalaman daripada yang lain.

“Dia calon paling sesuai bagi tugas itu,” katanya pada sidang media di Hotel The Saujana, semalam.

Sementara itu, Dollah melaungkan amaran kepada anak buah Brendan Rodgers betapa pasukan negara akan turun dengan misi mencari kemenangan sekali gus mencalar rekod cemerlang Reds sepanjang jelajah pramusim di Thailand dan Australia sebelum ini.

“Saya tak mahu cerita siapa yang akan bermain nanti tapi apa yang lebih utama mereka perlu tunjukkan komitmen dan kesungguhan kerana kami akan bertemu pasukan gergasi (Liverpool).

“Kami main untuk menang, ialah kalau nak ikutkan pasukan Liverpool nampak lebih bersedia tapi saya percaya dengan bantuan pemain import, saya tahu mereka dapat membantu atau boleh memantapkan lagi pasukan.

“Kami akan cuba lakukan yang lebih daripada aksi sebelum ini ketika bertemu Tottenham Hotspur, saya percaya kami akan berikan 100 peratus dalam aksi itu nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2015 @ 9:39 AM