ORANG ramai mula memasuki Kompleks Seri Perdana bagi menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2015. FOTO Sairien Nafis
ORANG ramai mula memasuki Kompleks Seri Perdana bagi menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2015. FOTO Sairien Nafis
Oleh Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Orang ramai mula 'membanjiri' Kompleks Seri Perdana, Presint 10 Putrajaya bermula jam 9 pagi tadi bagi memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah 2015.

Mereka yang hadir terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, warga asing bekerja di Malaysia serta pelancong dari luar negara.

Kemudian, pengunjung yang hadir mula beratur di pintu masuk untuk bersalam dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan menteri kabinet kira-kira jam 10.30 pagi.

Najib berbaju melayu warna oren kemerahan serta lengkap bersamping songket dan bersongkok turut bersama melayan dan bersalaman dengan pengunjung yang memeriahkan sambutan Aidilfitri di sini.

Antara menteri kabinet yang hadir ialah Menteri Dalam Negeri DatukSeri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Menteri Sumber Asli dan Alam Datuk Seri G Palanivel.

Kira-kira 70,000 pengunjung dijangka menghadiri majlis berkenaan pada hari ini yang berlangsung sehingga jam 4 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Julai 2015 @ 12:05 PM