Sultan Ahmad Shah bersama  Sultanah Hajah Kalsom dan  Najib serta  Rosmah pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2016 Parlimen Pekan di Taman Tasik Sultan Abu Bakar.
Sultan Ahmad Shah bersama Sultanah Hajah Kalsom dan Najib serta Rosmah pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2016 Parlimen Pekan di Taman Tasik Sultan Abu Bakar.
Mohd Fauzi Abdullah dan Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


Pekan: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak terkesan dengan tekanan yang diterima dari dalam mahu pun luar negara sebaliknya beliau terus istiqamah dalam melaksanakan tugas.

Najib berkata, dia perlu fokus untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin nombor satu negara dan Ahli Parlimen Pekan.

“Saya tidak ada apa-apa, semua berjalan seperti biasa, saya mesti istiqamah pada tugas serta tanggungjawab saya sama ada sebagai Ahli Parlimen Pekan mahupun Perdana Menteri untuk menjaga kepentingan 30 juta rakyat Malaysia,” katanya.

Najib berkata demikian ketika diminta mengulas pelbagai cabaran dan tekanan beliau hadapi sejak akhir-akhir ini termasuk mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dibangkitkan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat.

Beliau ditemui pada sambutan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2016 Parlimen Pekan di Taman Tasik Sultan Abu Bakar di sini, semalam.

Kira-kira 50,000 pengunjung pelbagai kaum menghadiri majlis berkenaan yang bermula jam 10.30 pagi.

Majlis diserikan dengan keberangkatan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, Sultanah Pahang Sultanah Hajah Kalsom, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan anakanda baginda.

Hadir sama isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA negeri yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan Datuk Abu Bakar Harun serta EXCO kerajaan negeri.

Sementara itu, Najib melahirkan kesyukuran dan berterima kasih kepada orang ramai terutama masyarakat Pekan yang hadir memeriahkan majlis berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2016 @ 5:17 AM