POPULASI Turki berjumlah 74 juta buka pasaran besar bagi produk Malaysia.
POPULASI Turki berjumlah 74 juta buka pasaran besar bagi produk Malaysia.
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turki (MTFTA) akan berkuat kuasa pada 1 Ogos 2015 dengan penghapusan duti import secara kekal ke atas 70 peratus barisan tarif selepas hampir empat tahun rundingan dijalankan sejak Mei 2010.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Turki yang mempunyai populasi seramai 74 juta penduduk menawarkan peluang akses pasaran yang besar dan komuniti peniaga Malaysia digalakkan memanfaatkan peluang ini bagi mengukuhkan perdagangan dua hala dan jaringan ekonomi dalam jangka masa panjang.

“Melalui perjanjian ini, pengeksport dari Malaysia dan Turki akan dapat menikmati akses keutamaan untuk produk mereka di negara masing-masing.

“Malah, duti import akan dihapuskan secara kekal ke atas 70 peratus barisan tarif apabila perjanjian ini berkuat kuasa. Duti juga akan dikurangkan atau dihapuskan ke atas hampir 86 peratus barisan tarif dalam tempoh lapan tahun akan datang,” katanya.

Menurutnya, pada 2014, jumlah perdagangan di antara Malaysia dan Turki bernilai AS$969 juta (RM3.69 bilion) di mana jumlah eksport Malaysia ke Turki berjumlah AS$752 juta (RM2.86 bilion) dan import sebanyak AS$217 juta (RM825 juta).

Eksport utama ke Turki merangkumi tekstil dan pakaian, kimia dan produk kimia, minyak sawit, barangan buatan logam, barangan getah, barangan elektrik dan elektronik. Manakala, import dari Turki terdiri daripada tekstil dan pakaian, barangan kejenteraan dan alat ganti, produk besi dan keluli, barangan kimia, produk pertanian serta barangan elektrik dan elektronik.

Eksport Malaysia yang akan diperoleh melalui penghapusan duti secara serta-merta di Turki meliputi produk terpilih tekstil dan pakaian, barangan elektrik dan elektronik, bahan kimia, produk besi dan keluli, produk jentera, produk kayu kayan, barangan kulit dan semua produk buatan getah.

Bagi produk strategik, termasuk produk besi dan keluli, kedua-dua negara akan menghapuskan duti secara berperingkat dalam tempoh lapan tahun.

Turki juga akan menghapuskan semua duti tambahan kastam sedia ada dalam lingkungan 20 peratus hingga 30 peratus ke atas tekstil, pakaian dan kasut yang membabitkan lebih daripada 1,000 barisan tarif.

Bagi produk berasaskan minyak sawit pula, Turki menawarkan pengurangan duti ke atas kadar duti biasa dalam lingkungan 0 hingga 46.8 peratus.

“Bagaimanapun, sebagai permulaan perjanjian ini hanya tertakluk kepada perdagangan barangan dan kemudiannya akan diperluaskan kepada sektor pelaburan dan perkhidmatan,” katanya.

Perjanjian dengan Turki adalah yang ke-13 dipersetujui Malaysia dan pada masa ini, Malaysia melaksanakan enam perjanjian perdagangan bebas dua hala meliputi negara ASEAN, China, Jepun, India, Australia, New Zealand, Pakistan dan Chile.

Ketika pemeteraian MTFTA pada April 2014, kedua-dua Perdana Menteri Malaysia dan Turki sudah meletakkan sasaran untuk mencapai jumlah dagangan sebanyak AS$5 bilion (RM19 bilion) menjelang 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2015 @ 5:03 AM