Dzulkifli (kanan) dan  Syed Hassan selepas sesi ceramah perdagangan Matrade mengenai bagaimana menjalankan perniagaan dengan Pakistan, semalam
Dzulkifli (kanan) dan Syed Hassan selepas sesi ceramah perdagangan Matrade mengenai bagaimana menjalankan perniagaan dengan Pakistan, semalam
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Malaysia dan Pakistan dijangka memuktamadkan rundingan pengurangan duti ke atas tarif sedia ada dan tarif tambahan di bawah perjanjian perdagangan bebas (FTA) pada suku pertama 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Dzulkifli Mahmud berkata, rundingan berkenaan adalah untuk meningkatkan perjanjian itu dengan mengambil kira unsur baru yang difikirkan sesuai serta relevan dengan keadaan masa kini.

Beliau berkata, hubungan dagang dua hala antara Malaysia dan Pakistan mempunyai prospek baik, sekali gus dapat menjana lebih banyak peluang kepada pertumbuhan dagangan serta ekonomi negara.

“Sebagai contoh, dalam rundingan ini, kami turut masukkan bagaimana perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan boleh mengambil kesempatan terhadap kelebihan bidang pelaburan tertentu di Pakistan dan sebaliknya.

“Malah, dalam pengurangan duti selanjutnya terhadap produk sedia ada dan barisan tarif tambahan juga dijangka dapat memudahkan komuniti perniagaan kedua-dua negara,” katanya pada sidang media selepas sesi ceramah perdagangan Matrade mengenai bagaimana menjalankan perniagaan dengan Pakistan, semalam.

Hadir sama, Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Syed Hassan Raza.

Pada 2015, dagangan antara Malaysia dan Pakistan berjumlah RM5 bilion, meningkat 6.2 peratus berbanding 2014. Eksport ke Pakistan berjumlah RM4.1 bilion, naik 3.6 peratus yang disumbangkan oleh segmen minyak sawit, bahan kimia serta produk petroleum menjadi produk utama manakala import dari Pakistan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 19 peratus bernilai RM0.9 bilion, disumbangkan terutamanya oleh hasil pertanian, tekstil, pakaian dan kasut serta produk petroleum.

Sementara itu, Syed Hassan berkata, Pakistan dengan penduduk seramai 190 juta adalah pintu masuk ke Asia Barat dengan perjalanan udara hanya mengambil masa kira-kira dua jam.

“Saya berharap dengan hubungan dua hala yang berterusan, kita akan melihat syarikat dari Malaysia berkembang di dalam dan luar negara serta memilih Pakistan sebagai destinasi pelaburan dan penubuhan syarikat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2016 @ 7:29 AM