Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

PRESTASI perdagangan Malaysia meningkat 7.1 peratus kepada RM690.59 bilion pada suku pertama 2024 berbanding suku sama 2023, merekodkan lebihan dagangan sebanyak RM34.22 bilion yang sejajar pemulihan perdagangan global.

Bagi tempoh Januari hingga Mac 2024, Malaysia melakar sejarah dengan merekodkan nilai perdagangan, eksport dan import yang tertinggi bagi suku tahun pertama.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata, eksport pada suku pertama 2024 meningkat 2.2 peratus kepada RM362.41 bilion berbanding suku sama 2023, disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan perkilangan dan hasil galian.

Ia berkata, import pula merekodkan peningkatan dua angka 13.1 peratus kepada RM328.19 bilion, disumbangkan import barangan modal dan pengantara yang digunakan dalam aktiviti pembuatan barangan untuk dieksport.

"Kenaikan ketara eksport telah direkodkan bagi barangan besi dan keluli, jentera, kelengkapan dan peralatan, barangan perkilangan logam, petroleum mentah dan gas asli cecair (LNG).

"Dari segi pasaran, pertumbuhan eksport disokong oleh peningkatan eksport ke ASEAN, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun," katanya.

Dari segi perbandingan prestasi bulanan, MITI berkata nilai perdagangan, eksport dan import pada Mac 2024 merekodkan peningkatan dua angka bulan ke bulan masing-masing sebanyak 15.6 peratus, 15.5 peratus dan 15.7 peratus berbanding Februari 2024,

Ia berkata, perdagangan berjumlah RM244.47 bilion yang dicatatkan bulan lalu itu juga adalah nilai bulanan tertinggi dalam sejarah bagi Mac.

Katanya eksport bernilai RM128.64 bilion dan import berjumlah RM115.83 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM12.81 bilion, yang juga adalah lebihan dagangan yang ke-47 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.

Pada Mac 2024, perdagangan dan import masing-masing mengembang 5.1 peratus dan 12.5 peratus tahun ke tahun, manakala eksport mengurang secara marginal 0.8 peratus.

Sementara itu, perdagangan Malaysia dengan rakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) telah mencatatkan pertumbuhan positif pada suku pertama 2024, meningkat 4.4 peratus kepada RM456.02 bilion, mewakili 65.3 peratus daripada jumlah perdagangan.

Eksport naik 0.3 peratus kepada RM248.17 bilion dan import bertambah 9.6 peratus kepada RM207.85 bilion berbanding tempoh sama 2023.

Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dalam penerbitan Tinjauan dan Statistik Perdagangan Global baru-baru ini telah mengunjurkan jumlah perdagangan barangan dunia berkembang sebanyak 2.6 peratus pada 2024, berbanding penguncupan 1.2 peratus pada 2023, di tengah-tengah konflik serantau serta ketegangan geopolitik.

Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan ekonomi negara akan berkembang antara 4.0 peratus hingga 5.0 peratus pada tahun ini, sokong oleh pemulihan dalam perdagangan luar, kenaikan aliran masuk pelaburan serta peningkatan dalam permintaan domestik yang berterusan.

Sebagai ekonomi yang sangat terbuka dengan nisbah perdagangan barangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 144.7 peratus pada 2023, Malaysia dilihat akan turut terkesan oleh perkembangan dunia semasa.

Justeru, MITI dan agensi promosi eksport utamanya, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) sentiasa bersedia untuk memastikan risiko kepada pertumbuhan perdagangan dan aliran masuk pelaburan dapat dipantau dan ditangani.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 7:00 AM