Jakarta: Umat Islam Indonesia digesa tidak risau jika berlaku perbezaan hari menyambut Aidilfitri kali ini.

“Kita sudah biasa dengan perbezaan seumpama itu. Negara kita luas dan besar. Jangan bimbang dengan perbezaan yang berlaku,” kata Setiausaha Agung Pusat Dewan Masjid Indonesia (DMI) Imam Addaruguthni, semalam.

Menurutnya, masyarakat Indonesia sudah dewasa sehingga mampu menerima perbezaan.

“Perbezaan menjadi perkara biasa, termasuklah menetapkan 1 Syawal,” katanya.

Imam berkata demikian sebagai mengulas laporan mengenai kemungkinan rakyat negara itu tidak serentak menyambut Aidilfitri.

Muhammadiyah, pertubuhan Islam kedua terbesar di Indonesia menetapkan 1 Syawal pada Jumaat 17 Julai.

Bagaimanapun, Nahdlatul Ulama, pergerakan Islam terbesar negara itu akan memutuskan tarikh itu petang ini.

Kedua-dua kumpulan itu menyambut 1 Ramadan lalu pada hari sama, sesuatu yang jarang berlaku sebelum ini. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2015 @ 5:03 AM