PENGIKUT Muhammadiyah di Palembang, Sumatera Selatan menunaikan solat sunat Aidiladha di kawasan lapang, semalam.
PENGIKUT Muhammadiyah di Palembang, Sumatera Selatan menunaikan solat sunat Aidiladha di kawasan lapang, semalam.
Agensi

Jakarta: Ribuan pengikut Muhammadiyah merayakan Aidiladha semalam, sehari lebih awal daripada yang ditetapkan kerajaan.

Di Yogyakarta, 20,000 pengikut kumpulan Islam kedua terbesar di Indonesia itu menunaikan solat sunat hari raya itu di Dataran Alun-Alun dengan diimamkan Setiausaha Agung Pimpinan Pusat Muhammadiyah Abdul Mukti.

Di Jakarta, pengikut Muhammadiyah menunaikan solat sunat itu semalam di Kompleks PT Hotel Indonesia International, Kelapa Gading Timur.

Imam solat Arif Susanto berkata, walaupun solat diadakan semalam, penyembelihan haiwan korban dilakukan hari ini sebagai menghormati umat Islam lain negara itu yang belum meraikan Aidiladha.

“Untuk penyembelihan, kami akan laksanakan esok, sama dengan penyembelihan yang dilakukan Muslimin lain,” katanya.

Dia juga berkata, perbezaan menyambut Aidiladha adalah wajar kerana Muhammadiyah menggunakan sistem hisab dalam mengira tarikh hari raya itu.

Seorang pegawai Muhammadiyah Tulis Harjo berkata, pihaknya tidak melarang jika ada anggota kumpulan itu yang mahu menyembelih haiwan korban itu semalam.

Pengerusi Muhammadiyah, Haedar Nashir berkata, perbezaan menetapkan Aidiladha atau Aidilfitri tidak perlu didebatkan kerana ia berdasarkan cara menetapkannya, bukan ritual ibadah itu.

“Ritual ibadah tetap sama. Hanya cara penetapannya berbeza dan masih ada titik pertemuan antara satu dengan yang lain,” kata Haedar Nashior, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2015 @ 6:19 AM