GAMBAR hiasan, pengikut tarekat Naqsyabandiah di Sumatera Barat.
GAMBAR hiasan, pengikut tarekat Naqsyabandiah di Sumatera Barat.

Padang: Tarekat Naqsyabandiyah Sumatera Barat menetapkan Sabtu ini, 4 Jun, sebagai hari pertama puasa.

Keputusan itu diumumkan oleh pemimpinnya Syafri Malin Mudo di Padang, semalam.

Sehubungan itu, katanya, pengikut tarekat berkenaan akan mula menunaikan solat Tarawih malam esok.

“Kami menetapkan Ramadan berdasarkan hisab dan perhitungan malam. Ini berlandaskan surah Al-Baqarah ayat 183, 184 dan 185 dalam kitab suci al-Quran,” kata Syafri.

Menurutnya, ketiga-tiga ayat berkenaan menjelaskan perintah puasa untuk tarekatnya sesuai perintah pendahulunya iaitu ketika zaman Khalifah Umar al-Khattab.

“Perhitungan lain ialah berdasarkan malam. Apabila dikira dari tahun Hijriyah sebelumnya tepat satu Ramadan akan jatuh pada Sabtu, 4 Jun 2016.

“Tarekat lain mengambil kiraan siang. Kami mengambil kiraan malam,” kata Syafri.

Dia juga berkata, pengikut tarekat itu akan memulakan solat Tarawih di 50 surau di sekitar Padang. Mereka akan disertai pengikut tarekat berkenaan dari Riau, Jambi dan beberapa daerah lain.

Dalam pada itu, Syafri juga mengumumkan, kumpulan itu akan merayakan Aidilfitri pada 4 Julai depan.

Pengikut tarekat Naqsyabandiah sejak dahulu memang berpuasa dan berhari raya dua hari lebih awal daripada masyarakat Islam lain di Indonesia.

Dua kumpulan Islam terbesar Indonesia, Nahdlatul Ulama dan Muhammadiyah sebelum ini mengumumkan, mereka akan mula berpuasa pada 6 Jun depan dan berhari raya pada 6 Julai. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2016 @ 9:40 AM