ANGGOTA Nahdlatul Ulama (NU) bersedia mengadakan solat khas menyambut Ramadan di Jakarta semalam.
ANGGOTA Nahdlatul Ulama (NU) bersedia mengadakan solat khas menyambut Ramadan di Jakarta semalam.
Agensi

Jakarta: Selepas tiga tahun berturut-turut umat Islam Indonesia berpuasa dan menyambut hari raya pada hari berbeza, peluang untuk mereka melakukannya secara serentak mungkin berlaku kali ini.

Muhammadiyah, pertubuhan Islam kedua terbesar negara itu kelmarin menetapkan hari pertama Ramadan kali ini ialah pada Khamis ini.

Berdasarkan kalendar Hijriah yang diterbitkan pertubuhan itu, 1 Ramadan akan jatuh pada 18 Jun sementara 1 Syawal pada Jumaat 17 Julai depan. Sementara itu, pemerintah dan Nahdlatul Ulama (NU) masih menunggu hasil sidang isbat minggu depan.

Penentuan tarikh itu berdasarkan kiraan apa yang dinamakannya ‘hisab hakiki wujudul hilal’ yang dilakukan oleh Majelis Tarijh dan Tajdid Pimpinan Pusat Muhammadiyah.

Walaupun NU, pertubuhan Islam terbesar di Indonesia yang menggunakan cara penentuan yang berbeza, Ketua Lajnah Falakiahnya Dr H Abd Salam Nawawi membayangkan kemungkinan besar kumpulan itu juga akan memulakan puasa Khamis ini dan menyambut 1 Syawal pada 17 Julai depan.

“Buat masa ini, yang dilihat, NU juga mula berpuasa dan mula berhari raya pada hari yang sama dengan Muhammadiyah, tetapi keputusannya akan diumumkan beberapa hari lagi,” katanya.

Kerajaan Indonesia juga belum mengumumkan secara rasmi tarikh berkenaan.

Bagaimanapun, seperti tahun-tahun sebelum ini, tarikh yang ditetapkan oleh kerajaan dan NU sentiasa sama.

NU dan kerajaan Indonesia menggunakan imkanur rukyat, dengan cara melihat langsung keadaan bulan. Kriteria yang dipakai dalam sistem rukyat adalah, tinggi bulan (hilal) harus lebih dua darjah di atas ufuk.

“Tarikh yang ditetapkan oleh kerajaan biasanya sama dengan kerajaan walaupun kami mempunyai ulama berbeza dalam menentukannya.” kata Abd Salam.

Kerajaan dijangka mengumumkan tarikh mula puasa esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2015 @ 11:31 AM