SEORANG petugas di Kementerian Agama  menggunakan teropong untuk melihat anak bulan Ramadan.
SEORANG petugas di Kementerian Agama menggunakan teropong untuk melihat anak bulan Ramadan.
Agensi

Jakarta: Kerajaan Indonesia menetapkan hari pertama puasa jatuh hari ini.

Penetapan itu berdasarkan sidang isbat yang dipengerusikan Menteri Agama, Lukman Hakim Saifuddin di Kementerian Agama, semalam.

“Secara muafakat, kami bersetuju, 1 Ramadan 1437 Hijrah bermula esok (hari ini), bersamaan 6 Jun 2016,” kata Lukman pada sidang akhbar yang diadakan selepas sidang berkenaan.

Menurutnya, keputusan itu dicapai berdasarkan dua perkata, hisab dan laporan mereka yang ditugaskan untuk melihat anak bulan di beberapa lokasi yang sudah ditetapkan.

Dengan pengumuman itu juga umat Islam di Indonesia mula menunaikan solat Tarawih semalam.

Sidang itu dihadiri jemputan yang mewakili beberapa pertubuhan Islam dan duta beberapa negara Islam.

Kumpulan Islam di Indonesia sering bertelagah mengenai penetapan 1 Ramadan dan 1 Syawal.

Bagaimanapun, dua pertubuhan Islam terbesar negara itu, Nahdlatul Ulama (NU) dan Muhammadiyah berkata sebelum ini, berdasarkan kiraan ulama masing-masing, tarikh mula puasa negara itu ialah hari ini.

Beberapa tarekat yang dianggotai penduduk Islam di beberapa kawasan negara itu juga mempunya cara tertentu untuk menetapkan tarikh permulaan puasa.

Di Surabaya, pegawai NU Jawa Timur, Shofiyulloh berkata, anak bulan kelihatan di Bangkalan, Gresik dan Jombang oleh petugasnya, semalam. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2016 @ 7:32 AM