Kisah ini bermula apabila pelakon sedang mencipta nama, Aiman Hakim Redza mengatakan mutu skrip sekarang agak mengecewakan dan mahu mendalami bidang penulisan skrip. Aiman mahu menghasilkan karya yang dapat memberi kepuasan kepada dirinya.

Kenyataan Aiman itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penulis skrip drama mahupun filem tempatan. Ramai mempersoalkan kredibiliti Aiman untuk memperkatakan mutu skrip dan karya mereka hasilkan sebelum ini.

Mereka marah dan bertanya kembali, apa kelebihan dan kreadibiliti Aiman untuk mempersoalkan kemampuan mereka dalam menulis skrip.

Adakah Aiman pernah menang anugerah pelakon lelaki terbaik? Jika perkara itu berlaku dan dia mahu mempertikaikan hasil kerja orang lain, penulis skrip terbabit boleh terima dengan minda terbuka.

Bukan itu saja, sebahagian besar penulis skrip ini menegur Aiman kembali agar dia memperbetulkan dahulu lakonannya dan belajar lebih banyak ilmu sebelum menegur orang lain.

Di sini Cik Pang kongsikan komen seorang penulis skrip yang mempersoalkan mengapa Aiman memberi kenyataan seperti itu. Kalau Aiman menegur mengenai lakonan lainlah ceritanya.

Katanya, dia kecewa jika watak yang digambarkan dalam skrip gagal dilakonkan atau dibawakan dengan baik oleh Aiman.

Tergamam Cik Pang membaca kenyataan balas penulis skrip berhubung kenyataan Aiman ini. Dalam situasi seperti ini, Cik Pang rasa setiap kritikan ada baiknya tetapi mungkin cara disampaikan salah menyebabkan timbul rasa tidak puas hati.

Kepada Aiman, kalau mendengar segala kritikan balas penulis skrip terbabit, dia seharusnya menerima dengan tangan terbuka kerana dia yang memulakannya terlebih dulu.

Kalau tanya Cik Pang dalam isu membalas kritikan ini siapa yang betul dan siapa yang salah, Cik Pang hanya mampu menggelengkan kepala kerana kritikan seharusnya menjadi perkara baik kerana ia dapat mengajar kita memperbaiki kelemahan. Namun seperti yang Cik Pang tegaskan tadi, ia harus dilakukan dengan cara yang betul.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2015 @ 5:02 AM