Panas sampai berpeluh juga tapak tangan Cik Pang sebaik saja dengar cerita pengarah dan penerbit popular, Ahmad Idham bengang dengan pelakon Pekin Ibrahim.

Semuanya gara-gara filem Mat Motor yang pada masa ini masih dalam proses pembikinan dan pembangunan skrip.

Menurut sumber Cik Pang, filem itu dipercayai tercetus ideanya daripada Pekin dan dia bertemu dengan Ahmad Idham untuk realitikan ideanya.

Apatah lagi, semua orang tahu pengarah itu sudah banyak kali berjaya menghasilkan filem genre permotoran sedari dulu, jadi mungkin disebabkan kejayaan-kejayaan lalu, Pekin meminta khidmat nasihat daripadanya dan dikatakan sudah sepakat memberikan tugas pengarahan kepada Ahmad Idham.

Malah disebabkan mahu mempromosi filem itu lebih awal, Ahmad Idham juga sanggup keluarkan bajet sendiri untuk mengumpul beribu-ribu ‘mat motor’ di beberapa negeri sebagai pendedahan awal yang filem Mat Motor akan keluar tak lama lagi.

Sijil Perakuan Penggambaran Filem untuk Mat Motor daripada FINAS pun Idham tolong dapatkan. Kiranya, segala urusan pra-produksi sudah selesai, tinggal masuk set penggambaran dan post-produksi saja lagi.

Malangnya, selepas kematian penulis bersama skrip filem itu beberapa bulan lalu, Pekin tiba-tiba saja berubah dan mahu mengarah filem itu sendiri.

Difahamkan, Pekin langsung tidak memberitahu Idham mengenai keputusannya itu. Idham tahu pun selepas Pekin memuat naik Sijil Perakuan Penggambaran Filem yang baru tapi menggunakan tajuk filem sama dan pengarah berlainan di laman Instagramnya.

Kalau benarlah apa yang disampaikan kepada Cik Pang, pendapat sekupang Cik Pang, tindakan Pekin itu memang agak tak sopan dan langsung tidak menghormati usaha orang lain.

Lebih-lebih lagi orang yang dipermainkan itu pengarah dan produser yang jauh lebih berpengalaman dalam industri perfileman tempatan.

Lebih tak manis, dia langsung tidak meminta maaf atau bersemuka untuk memberi sebab kenapa dia bertindak demikian.

Kata teman Cik Pang, Ahmad Idham tak marah jika tugas mengarah dan menerbit itu tidak lagi terletak padanya tapi sikap tak profesional Pekin yang tidak menghormati orang lain dan terlalu pentingkan diri sendiri yang buatkan banyak pihak marah padanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2015 @ 5:04 AM